Konsep turun padang yang dilaksanakan Umno Terengganu nyata membanggakan semua pihak kerana ia bukan saja mampu menambat hati rakyat, malah dapat memperjelaskan setiap perubahan dan dasar kerajaan kepada peringkat akar umbi.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata pihaknya yakin pengetahuan rakyat mengenai pelaksanaan dan pelbagai kejayaan yang diraih Barisan Nasional (BN) di Terengganu, mendoorong mereka untuk terus menyokong Kerajaan BN.
Menurutnya, penjelasan mengenai kejayaan BN di ambil perhatian oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ketika ini dikatakan cukup rancak melakukannya di seluruh negeri supaya rakyat tidak melupakan usaha BN untuk memastikan mereka mencapai kehidupan lebih baik.
“Kita ada buat penerangan melalui perhimpunan dan program dengan fakir miskin di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 dan sebagainya.
“Melalui program seumpama ini, Adun akan mendedahkan kejayaan Terengganu sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, pihak tidak menolak bahawa pembangkang sering tidak puas hati dan dengki dengan pelbagai kejayaaan yang diraih kerajaan BN hari ini.
“Bagaimanapun, kita tidak mengambil serius perkara itu, sebaliknya terus menjelaskan kepada rakyat untuk memastikan mereka menghargai sumbangan dan menilai kebaikan serta kejayaan BN.
“Pembangkang memang hobinya membangkang, apa saja yang dilaksanakan kerajaan walaupun mengetahui ianya untuk kebaikan semua rakyat, mereka tetap cemburu, iri hati, mengkritik selain menganggap membazir,” katanya.