Halaman

11 April 2012

Penduduk di kawasan pembangkang sedia berubah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Penduduk di kawasan yang dikuasai pembangkang rata-rata sudah sedia memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), bagi memastikan arus pembangunan dilaksanakan di kawasan mereka.

Keadaan ini dapat dibuktikan apabila mereka keluar beramai-ramai pada program anjuran Umno dan BN – satu manifestasi bagi melahirkan secara terang-terang sokongan mereka kepada BN.

Beribu-ribu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir membanjiri dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara baru-baru ini bagi meraikan kunjungan YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang julung-julung kalinya hadir ke sekolah tersebut.

Walaupun kedatangan Menteri Besar ke sekolah itu untuk membahagikan e-Book secara percuma kepada murid-murid Tahun 4 di DUN Manir, ada kalangan hadirin yang datang itu tidak terlibat pun dengan majlis yang dianjurkan.

Sesetengah hadirin merupakan penyokong Pas yang datang ke majlis itu kerana mahu mendengar ucapan Menteri Besar mengenai dasar-dasar dan program yang telah dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Dalam uacapannya, Menteri Besar mahu penduduk di DUN Manir memberi peluang kepada BN untuk mewakili mereka dan membangunkan DUN Manir yang agak ketinggalan setelah sekian lama berada dalam ‘taklukan’ Pas.

Melalui gerak badan dan tepukan semangat setiap kali Menteri Besar mengumumkan kejayaan BN mentadbir negeri ini, jelas penduduk Manir sedia berubah dan akan memberi undi mereka kepada BN.

Begitu juga sewaktu Perdana Menteri melawat DUN Manir pada tahun lalu, mereka memberikan sambutan luar biasa kepada Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan rombongan.

Bukan saja di Manir, tetapi DUN lain yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu, turut memberi isyarat bahawa mereka sedia berubah dan mengundi calon BN pada PRU 13.

Ini dapat dibuktikan apabila program-program anjuran BN di DUN Bukit Tunggal, Batu Burok, Sura, Wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Ladang dan Bukit Payong, sentiasa mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan.

Dato’ Seri Haji Ahmad selaku Pengerusi Badang Perhubungan Umno dan Pengerusi BN negeri, menyifatkan keadaan itu sebagai petanda baik kepada Umno dan BN bagi menghadapi PRU 13.

“Kita yakin Umno dan BN akan menang besar pada PRU 13 dengan sekurang-kurangnya menang 29 kerusi DUN,” katanya.