Ramai pemimpin pembangkang sudah mula berlagak ‘hero’ apabila bercerita pasal Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).
Mereka memberi pelbagai alasan dan janji termasuk hapuskan hutang pelajar dengan PTPTN jika pembangkang menang pilihan raya nanti.
Mereka juga desak kerajaan hapuskan hutang RM43 bilion walaupun negara boleh jatuh bangkrap jika tindakan itu dilakukan.
Bercakap tanpa menoleh kiri dan kanan memang sesuatu yang mudah asalkan rakyat dapat dipengaruhi untuk menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Sebab itu kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bercakap memang mudah kerana Ketua Pembangkang itu bukan kerajaan dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab.
"Mereka yang berhutang dengan PTPTN mungkin suka, tapi ini akan menyebabkan masalah besar. Jangan fikir keuntungan jangka pendek sahaja," katanya baru-baru ini.
Itu kata Muhyiddin tapi bagi Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Khaled Nordin, elok pembangkang buat dulu perkara itu di negeri dikuasai mereka dan jangan ‘double standard’.
Jangan tidak tahu, universiti dan kolej yang ditadbir oleh negeri pembangkang di Selangor dan Kedah menerima manfaat daripada tabung tersebut.
Khaled mendedahkan Isnin lalu kepada sebuah portal berita, sebanyak RM1.3 bilion pinjaman PTPTN diberikan kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah.
Seramai 25,649 pelajar Unisel menerima pinjaman PTPTN berjumlah lebih RM851 juta, 13,763 di KUIS babitkan jumlah RM369 juta dan 6,072 pelajar di KUIN dengan pinjaman lebih RM258 juta.
Dengan wang PTPTN itulah pelajar-pelajar membiayai pendidikan dan membolehkan Unisel, KUIS dan KUIN beroperasi sehingga sekarang.
Bayangkan, kalau tiada lagi pinjaman PTPTN yang terpaksa ‘tutup tabung’ jika tiada wang lagi andainya kerajaan melupuskan semua hutang pelajar sedia ada.
Jawapannya, ketiga-tiga IPT itu juga bakal ‘lingkup’.
Sebab itu, Khaled mahu pembangkang berfikir dulu sebelum bercakap termasuk menabur janji asalkan mereka boleh mencapai matlamat politik masing-masing.
Ini kerana banyak janji yang diberikan pemimpin pembangkang semasa pilihan raya lepas pun masih banyak belum ditunaikan.