Halaman

08 April 2012

MB arah jurulatih tegur pemain beraksi hambar

Oleh: Suriati Ali

Jurulatih Terengganu dan T-Team diarah supaya menegur pemain kedua-dua pasukan itu yang jelas mempamerkan aksi dan permainan hambar sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kekalahan pasukan ‘Penyu’ 1-6 kepada Selangor dan T-Team 1-4 di tangan PKNS Selangor, sesuatu yang cukup memalukan.

Katanya, banyak kesalahan dilakukan pemain kedua-dua pasukan dari negeri ini, khususnya di bahagian pertahanan kiri dan kelekaan mereka menyebabkan banyak peluang keemasan menjaringkan gol dilepaskan.

“Kita mengakui pemain Terengganu tidak ramai yang boleh menjaringkan gol, jika individu yang diharapkan itu gagal laksanakan tanggungjawab, semua pihak akan rugi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun Empat di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin dan Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Seramai 841 murid dari lapan sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang hadir bersama ibu atau bapa untuk menerima e-Book secara percuma yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Mereka adalah murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 seramai 229; SK Sultan Sulaiman 11 (163); SK Tengku Bariah (102); SK Pasir Panjang (95); SK Bukit Besar (77); SK Gong Kapas (65); SK Ladang (62) dan SK Bukit Bayas pula seramai 48 orang.

Menteri Besar berkata, pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) juga wajar memandang serius perkara itu supaya ia tidak berterusan dengan aksi sambil lewa.

“Pada pemilihan pemain musim akan datang, PBSNT perlu berhati-hati di mana hanya mengambil pemain yang benar-benar komited dan mempunyai semangat berpasukan,” katanya.