Rakyat negeri ini diminta tidak mensia-siakan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan cara memilih kerajaan yang benar-benar berwibawa demi memastikan kesinambungan proses pembangunan di Terengganu.
Ketua Penerangan Umno Terengganu, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya kerajaan yang dipilih benar-benar berwibawa dan dipimpin oleh mereka yang berkebolehan serta berpengalaman.
“Sebab itu, kita perlukan sebuah kerajaan yang lebih memfokuskan kepada agenda rakyat dan kerajaan yang pandai serta bijak merancang sesuatu pelan berkesan dalam menjaga perihal pembangunan rakyat.
“Jika rakyat memilih dan mengundi mana-mana parti tidak pasti ke mana hala tuju dan hanya pandai menabur janji melalui manifesto `khayalan’ undi mereka dianggap membazir ,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, semua jentera parti Umno Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah bersedia menghadapi PRU Ke-13 walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.
“Pihak kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri.
“Pihaknya sudah nampak persefahaman antara semua barisan kepimpinan sama ada peringkat bahagian mahupun negeri,” katanya.