Halaman

10 April 2012

TM perkenal Unifi di Teluk Kalong

Oleh; Esah Abdullah

Telekom Malaysia (TM) akan memperkenalkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (Unifi) di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman pada penghujung tahun ini.

Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Badrul Hisham Bahari berkata, Teluk Kalong merupakan kawasan kedua diperkenalkan dengan perkhidmatan tersebut selepas Lembah Klang.

Menurut beliau, Teluk Kalong merupakan kawasan perindustrian yang berkembang maju dilihat wajar mendapatkan kemudahan perkhimdatan internet berkelajuan tinggi untuk bersaing dengan industri lain di dalam dan luar negara.

Katanya, perkhidmatan tersebut selain mempunyai kelajuan internet yang tinggi ia boleh menyambungkan secara terus kepada televisyen yang membolehkan pengguna memperolehi pelbagai maklumat dengan lebih berkualiti.

``Unifi yang menggunakan fiber optik itu mampu memenuhi kehendak pemain industri bagi bersaing dengan industri lain sejajar dengan perkembangan dunia masa kini’’ katanya.

Beliau berkata demikain selepas majlis penyerahan zakat perniagaan TM kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di pejabat Maidam di sini, petang semalam. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Menurut beliau, melalui kemudahan itu juga memberi peluang kepada kira-kira 480 buah rumah di sekitar kawasan berkenaan menikmatinya apabila mereka melanggan dengan TM.

Tambahnya, pada masa ini kira-kira 25 peratus pengguna di negeri ini menjadi pelanggan kepada kemudahan internet TM dan angka itu dijangka meningkat kepada 30 peratus pada akhir tahun ini.

“TM sentiasa berusaha untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang berkelajuan tinggi bagi memenuhi permintaan pelanggan di samping bersaing dengan pengendalian internet lain dan pada masa ini pengguna di Terengganu mendapatkan perkhidmatan internet dengan kelajuran 4mbps .,” katanya.