Halaman

14 April 2012

534 graduan PSMZA terima diploma

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 534 graduan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menerima diploma pada Istiadat Konvokesyen PSMZA ke-9 yang berlangsung di Dewan Besar politeknik itu di Dungun baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada graduan Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Rosli Mat Hassan. Turut hadir, Pengarah PSMZA, Mejar (K) Zolkarnain Jobshi.

Terdahulu, Rosli dalam ucapannya berharap, institusi-institusi pendidikan tinggi tempatan terutamanya PSMZA mengambil peluang daripada kepesatan pembangunan daerah ini bagi menyediakan modal insan secukupnya

Ini kerana katanya, kekayaan sumber alam dan kemudahan pengangkutan sempurna telah menjana perkembangan industri yang mantap dan ekonomi stabil di daerah ini, sekali gus menawarkan banyak peluang pekerjaan.

"Status Majlis Perbandaran Dungun pada Ogos 2008 lalu telah membuka laluan untuk kerajaan negeri menjadikan daerah ini sebagai hab pelancongan, industri asas tani, industri petrokimia dan pendidikan menjelang 2015.

"Justeru itu, seharusnya warga PSMZA merebut peluang ini untuk menjadi sebagai sebuah institusi yang menyediakan tenaga kerja pakar dan profesional dalam bidang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvensyen PSMZA kali ke-9 yang berlangsung penuh gilang-gemilang itu.

Pada istiadat itu, Huda Maisarah Ab. Halim, 26, dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum (Jabatan Kejuruteraan Mekanikal) manakala Fatin Hanis Nadhirah Mat Adam, 22, bagi Jabatan Kejuruteraan Awam dan Nasibah Mat Jaafar, 22, Jabatan Kejuruteraan Elektrik.

Sementara itu, Zolkarnain berkata, sejak 2001 hingga Disember 2010, PSMZA telah menampung 15,083 pelajar dan mengeluarkan 10,721 graduan dan tenaga kerja separa profesional dalam industri di negara ini.

Jelasnya, untuk menggarap kecemerlangan akademik, PSMZA tidah pernah berhenti berusaha untuk memantapkan kualiti graduannya.

Ia terbukti apabila politeknik itu berjaya mencapai Tier 4, yang merujuk kepada taraf amat baik bagi keputusan penarafan Politeknik atau PolyRate 2011 yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi tahun lalu.

"Ia merangkumi elemen seperti tahap kebolehpasaran graduan, kepuasan majikan dan pelajar terhadap politeknik serta pencapaian para pelajar dalam generic students attribute." jelasnya.