Halaman

12 April 2012

Sasar tujuh peratus sumbangan sektor koperasi kepada KDNK Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri mensasarkan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Terengganu sebanyak tujuh peratus menjelang 2013.



Sasaran bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu itu dijangka akan meningkat tiga peratus lagi menjadi 10 peratus pada 2020 berbanding masa kini hanyalah sekitar satu peratus sahaja.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri bersama SKM negeri akan terus menggiatkan lagi pendaftaran koperasi baru, selain menambah nilai koperasi sedia ada.


“Kerajaan negeri mensasarkan 600 buah koperasi di negeri ini menjelang 2013. Pada 1 Julai tahun lalu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri telah melancarkan 1 Kampung, 1 Koperasi.

“SKM juga dengan kerjasama jabatan hal Ehwal Agama Terengganu sedang giat menubuhkan koperasi di setiap khairiah masjid di seluruh negeri,” katanya ketika merasmikan Majlis Himpunan Koperator Satu Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera; Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusuf Samsudin dan Pengarah SKM Negeri Terengganu, Encik Osman Ismail.

Menteri Besar berkata, bagi merancakkan lagi penubuhan koperasi baru, kerajaan negeri turut bersetuju memberi bantuan kepada koperasi baru peringkat kampung dan komuniti yang menunjukkan prestasi baik dan boleh berdaya saing yang melibatkan dana RM10,000 setiap satu.

Katanya, sebanyak 10 koperasi menerima faedah itu pada tahun lalu, manakala jumlah itu meningkat sebanyak RM100,000 pada tahun ini.

Untuk rekod, sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 492 koperasi di seluruh Terengganu dengan 236,756 orang ahli keseluruhannya.

Sementara modal syer dan yuran berjumlah RM182,234,150.23 dengan aset Rm375,449,185.88 selain urusniaga pada 2011 berjumlah Rm297,808,470.49.