Halaman

14 May 2012

500 penduduk DUN Jertih dapat cermin mata percuma

Orang ramai menyerbu kaunter pendaftaran untuk mendapatkan cermin mata percuma

Oleh: Mohammad Ishak 

Pemberian kaca mata secara percuma kepada penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih mendapat sambutan luar biasa apabila ramai yang mengambil peluang untuk mendapatkannya daripada pihak penganjur.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jertih itu ditawarkan kepada semua golongan termasuk pelajar,ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), remaja,wanita dan warga emas.

Program dengan kerjasama sebuah syarikat pembekal kaca mata terkenal Optometris Sanadi Sdn Bhd itu bertujuan memberi kemudahan kepada golongan berkenaan untuk mendapatkan cermin mata bagi kegunaan harian.

ADUN Jertih,Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program yang bermula sejak jam 8 pagi dan berakhir jam 3 petang itu memberi manfaat kepada 500 penduduk yang datang mendaftar dan membuat pemeriksaan mata sebelum mereka diberikan cermin mata berkenaan.

Katanya,sambutan yang menggalakkan itu membuktikan golongan berkenaan memerlukan bantuan daripada pihak tertentu untuk mereka. “Program ini akan diteruskan lagi bagi membolehkan mereka yang memerlukan cermin mata mendapat kemudahan berkenaan,” katanya.

Idris yang juga Pengerusi Mara berkata, beliau berterima kasih kepada syarikat berkenaan yang sedia bekerjasama dengan pejabat penyeleras DUN terbabit bagi membantu orang ramai.

Katanya, pihaknya akan mengadakan lebih banyak program berbentuk khidmat komuniti bagi membantu golongan yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan.

Hudud – Sekejap buat, sekejap tidak, sekejap tunda


Oleh FAUZI MOHD

Apabila cerita pilihan raya myla diperkatakan, cerita hudud pasti keluar, ini perkara biasa.

Asal keluar, mesti ada alasan, sama ada mahu dilaksanakan buat sebelum ayam berkokok atau selepas disembelih, ini juga biasa.

Bila DAP masuk campur, PAS akan senyap balik, ini paling paling biasa.

Begitulah nasib hudud di dalam politik PAS. Hukum Tuhan yang sering diangkat ke makam tertinggi oleh pemimpin dan ahli PAS tapi dalam masa yang sama diperlakukan seperti bola.

Sebab itu apabila cerita hudud terpacul lagi dari mulut Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, tidak ramai yang terperanjat kecuali pemimpin PKR dan DAP seperti Karpal Singh yang sedikit pening dengan gelagat itu.

Perkara itu memang sudah diagak. Ia ibarat drama telenovela yang plot ceritanya memang macam itu jugalah setiap kali.

Itu gambaran macam mana hukum hudud ini boleh disepak terajang oleh pemimpin PAS.
Kalau pilihanraya lambat lagi, ceritanya macam ini, kalau dah dekat, ceritanya macam ini pula.

Hairannya, itupun masih lagi ramai yang tegar-tegar menyokong parti PAS ni. Lupakah dia yang PAS itu bukan mewakili Islam dan perjuangan Islam, nampak sahaja macam itu sebab warna rasmi dia hijau putih.

Hakikat yang sebenarnya, Islam hanyalah mainan politik PAS dan hukum hudud juga tidak terkecuali.

Sebab itu rata-rata penyokong PAS sudah lali dan tak minat nak bincang bab hudud ini.

Hukumnya memang hukum Islam tapi ia tidak jauh beza dengan hukum-hukum Islam yang lain, kalau mampu laksanakan, kalau tak mampu ada pilihan lain.

Sembahyang yang tiang agama pun, kalau sakit dan sebagainya, boleh digantikan pada masa yang lain. Itu sembahyang, tiang agama dan disebut terang-terang dalam rukun Islam.

Menjadi persoalan, kenapa PAS masih lagi tak ubah-ubah pendekatan lama berkaitan hudud ni?

Kalau nak kekal relevan, carilah idea dan pembaharuan sesuai dengan peredaran zaman.

Masyarakat hari ini bukan mudah dibodoh-bodohkan macam masyarakat dulu.

Hari ini arkib berlambak-lambak. Cakap berputar belit sahaja, sekejap itulah fakta apa yang dicakap dulu keluar.


Terima kasih pemimpin Umno, BN : Peneroka Felda


Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Durian runtuh yang diumumkan Kerajaan Pusat kepada peneroka Felda seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia turut memberi impak positif kepada kehidupan warga felda seluruh Terengganu.

Seorang peneroka, Encik Mat Yassin Ismail, 59, berkata pemberian RM5,000 kepada setiap peneroka itu diharap dapat digunakan sebaik yang mungkin dan alternatif terbaik adalah membelanjakan wang agihan itu untuk menampung perbelanjaan ke Tanah Suci Makkah.



“Terima kasih Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, seluruh pemimpin Umno dan Barisan Nasional kerana peranan mereka membolehkan kita menjadi peneroka dalam Felda serta menikmati pelbagai kemudahan serta bantuan yang disalurkan sepertimana hari ini, pengagihan durian runtuh.

“Saya berharap pembangkang, tidak payah masuk ke dalam Felda dan mengganggu-gugat kehidupan peneroka Felda. Suatu masa dulu dia pernah kata kerajaan tipu rakyat. Bagaimanapun, apabila kita sudah senang, mereka datang pula ke Felda dan menghasut peneroka supaya mengikut mereka..Itu tidak betul,” katanya.

Encik Mat Yassin merupakan antara 7,469 peneroka seluruh Terengganu yang menikmati durian runtuh yang diagihkan menerusi tiga fasa dengan jumlah RM5,000 setiap pengagihan yang berakhir 22 Mei ini.

Beliau yang sudah lebih 30 tahun meneroka di tanah rancangan Felda Belara menerima durian runtuh itu daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sempena Majlis Menteri Besar Bersama Warga Felda di Felda Belara, semalam (13 Mei).

Seorang lagi peneroka yang juga generasi kedua Felda , Encik Noor Dollah,52, berkata ganjaran durian runtuh kepada peneroka, isteri dan generasi kedua yang berjumlah RM15,000 yang bakal diagihkan secara berperingkat itu memberi kejutan dan keceriaan kepada seluruh warga peneroka Felda.

Katanya, ganjaran itu merupakan nikmat pembangunan negara hasil percaturan dan kebijaksanaan kerajaan hari ini yang sudah memberi banyak keuntungan kepada rakyat termasuk warga Felda di seluruh negara.

“Saya tidak jangka kerajaan akan mengumumkan durian runtuh ini kepada peneroka dan terima kasih kepada semua pemimpin yang bertanggungjawab merealisasikan perkara ini,” katanya.





Terengganu bina 41 masjid menerusi RMK9

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri membina 41 masjid dengan kos keseluruhan kira-kira RM200 juta di seluruh Terengganu menerusi Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) (2005-2009).

Daripada jumlah itu, sebanyak 22 masjid dibina pada 2008, diikuti 2009 (tujuh dan masing-masing pada 2010 (10) serta tahun lalu (dua).

Pesuruhjaya Jabatan hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan projek pembangunan masjid itu berjaya disiapkan sehingga tahun lalu, sementara 14 masjid lagi masih dalam kerja pembinaan.

“Sebanyak 19 masjid siap dibina pada 2008, dikuti enam masjid pada 2009, dua masjid lagi siap dibina pada 2010.

“Jumlah masjid yang siap dibangunkan adalah 27 buah dengan kos kira-kira RM127 juta sepanjang 2008 hingga 2010 di seluruh Terengganu,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Haji Mohd Rozali berkata, sebanyak 14 masjid sedang dibangunkan dalam tempoh empat tahun bermula 2008 sehingga tahun lalu dengan kos keseluruhannya kira-kira RM73 juta.

Katanya, antara masjid berkenaan Masjid Raja Bukit Besar (Ladang), Masjid Kampung Wakaf Baru (Seberang Takir), Masjid Kampung Pauh Telemong, Masjid Sentul Patah (Rhu Rendang) , Masjid Banggol Mempelam dan Masjid Kubang Parit, Kuala Terengganu.








form>

13 May 2012

Tukar wakil rakyat Pas kepada Umno

Oleh; Esah Abdullah

Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal perlu pilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Banyak sebab mengapa 14,075 orang pengundi dalam Dun itu mesti tukar wakil rakyat daripada Pas kepada Umno, parti yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

“Pilihan tepat adalah BN kerana parti keramat itu telah membuktikan mampu menjaga kebajikan setiap rakyat pelbagai kaum di negara ini,” kata Pegawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

Katanya, tidak waraslah jika seorang itu menuduh BN zalim dan tidak bertanggung jawab kerana tradisi membela rakyat sentiasa diamalkan oleh pemimpin BN hingga ke akar umbi sedangkan parti Pas hanya menabur janji.

“Sebut bantuan apa yang tidak diberikan, baiki dan bina rumah, bantuan pelajaran daripada buku, pakaian, kasut, basikal, tusyen, e-book bagi sekolah rendah dan insentif pelajar cemerlang dan sambung belajar di universiti kerajaan beri duit,” katanya.

Katanya, Dun Bukit Tunggal terus dilimpahi rahmat dimana pembinaan rumah mampu milik sudah 60 peratus siap di Kampung Banggol Pauh dan sebuah pasar basah kering bernilai RM4 juta bakal dibina tidak lama lagi.

“Kalau BN menang dalam PRU akan datang pasti rezeki rakyat dalam kawasan itu akan terus dilimpahi rahmat kemakmuran dan kehidupan lebih terjamin.,” katanya.






Semua anak syarikat kerajaan wajib bayar zakat

Oleh: Suriati Ali

Semua anak syarikat milik kerajaan Terengganu diminta supaya jangan memberi jawapan tidak munasabah kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebagai alasan untuk tidak membayar zakat perniagaan.

Yang Dipertua Maidam, Dato' Senara Muda, Dato' Haji Mazlan Hashim, berkata pihaknya cukup kesal dengan sikap sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang ternama di Terengganu menjadikan alasan tidak perlu membayar zakat kerana mereka antara syarikat milik kerajaan.

Katanya, syarikat itu wajib membayar zakat, kerana keuntungan yang diperoleh dibelanjakan untuk kepentingan pelbagai pihak dan bukannya terus kepada kerajaan.

“Maidam cuba mengadakan perbincangan atau rundingan dengan ahli-ahli majlis mesyuarat syarikat ternama itu, tetapi mereka enggan berbuat demikian dan memberi kerjasama.

“Rundingan itu cukup penting bagi kita, untuk menerangkan perkara atau pengertian sebenarnya mengenai kewajipan membayar zakat perniagaan.

“Setiap syarikat atau jabatan milik kerajaan yang memperoleh pendapatan dan hasilnya disalurkan melalui saluran sama iaitu kerajaan, ia dikecualikan membayar zakat perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu kepada Maidam.

Wakil TNB, Pengurus Besar (Pembahagian)TNB Terengganu, Ir Md Yuslan Md Yusof menyerahkan sejumlah RM269,249.79 kepada Yang Dipertua Maidam, Dato' Senara Muda, Dato' Haji Mazlan Hashim di di pejabat Maidam, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, hari ini.

Zakat perniagaan yang diserahkan TNB itu selepas mengambil kira keuntungan yang diperoleh pihak itu pada tahun lalu iaitu kira-kira RM500 juta.

Dato' Senara Muda turut memberitahu, semua syarikat dan anak syarikat kerajaan negeri perlu sedar dengan kewajipan membayar zakat supaya rezeki yang diperoleh akan diberkati dan diredhai Alah S.W.T.




Maidam terima zakat perniagaan

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu di Majlis Penyerahan Zakat di pejabat Maidam, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, hari ini.

Wakil TNB, Pengurus Besar (Pembahagian)TNB Terengganu, Ir Md Yuslan Md Yusof menyerahkan sejumlah RM269,249.79 kepada Yang Dipertua Maidam, Dato' Senara Muda, Dato' Haji Mazlan Hashim.

Zakat perniagaan yang diserahkan TNB itu selepas mengambil kira keuntungan yang diperoleh pihak itu pada tahun lalu iaitu kira-kira RM500 juta.

Ir Md Yuslan, berkata pihaknya mengakui agihan zakat perniagaan 2011 yang diserahkan kepada Maidam mengalami pengurangan ketara jika dibandingkan agihan 2010 iaitu sebanyak 1.96 juta.

Katanya, TNB terpaksa mengurangkan jumlah agihan berikutan hanya memperoleh keuntungan RM500 juta saja bagi tahun lalu berbanding keuntungan diperoleh 2010 iaitu kira-kira RM 3.5 bilion.

“Pihak kami tidak mampu mengelak keadaan ini berikutan terpaksa menanggung kos bahan yang semakin meningkat.

“Saya cukup berharap pada tahun seterusnya, TNB akan memperoleh keuntungan seperti sedia kala, apabila keadaaan itu berlaku, kita boleh mengagihkan wang zakat dalam jumlah tinggi,” katanya.






Rela tubuh dua skuad baru


Oleh: Mohammad Ishak 

Selepas 40 tahun ditubuhkan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)  akan ditukar kepada nama baru yang lebih sesuai dengan sebagai agensi keselamatan negara.

Ketua Pengarahnya, Jeneral Datuk Mustaffa Ibrahim berkata nama baru itu dikenali “Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia” juga dikenali Rela akan mula berkuatkuasa pada 2 Jun ini.

Katanya, pertukaran nama baru yang berimejkan sebuah pasukan keselamatan selaras dengan akta baru Rela yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Menurutnya, meski pun berlaku sedikit perubahan pada pangkal nama tetapi ia masih dikekalkan nama Rela. “Berikutan pindaan baru akta agensi itu pihaknya juga akan melakukan beberapa perubahan dan penyusunan semula fungsi Rela supaya lebih sistematik dan berdaya saing,” katanya kepada media selepas menghadiri Himpunan Setia Rela bersama Pemimpin di Dewan Majlis Daerah Besut,semalam.

Kira-kira 1,000 anggota Rela pelbagai peringkat dari seluruh daerah Besut menghadiri himpunan yang dirasmikan oleh ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh.

Hadir sama Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut dan ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof.

Mustaffa berkata, menjelang akhir tahun ini Rela mengsasarkan jumlah keanggotaanya meningkat kepada 3 juta anggota berbanding 2.4 juta anggota sedia ada.

Beliau berkata,selepas lebih 40 tahun ditubuhkan Rela juga akan mempunyai pasukan profesional yang dikenali Skuad Kejuruteraan dan Skuad Medikal yang akan ditubuhkan pasukan itu tidak lama lagi.

Katanya, penubuhan skuad baru itu sebahagian usaha Rela untuk menarik minat penyertaan rakyat negara ini menyertai agensi itu terutama membabitkan golongan profesional.

Beri tindakbalas dalam masa 60 saat

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri meningkatkan perkhidmatan dengan memberi tindakbalas dalam tempoh 60 saat untuk jentera keluar dari balai bomba ke lokasi kecemasan selepas menerima panggilan.

Timbalan Pengarah JBPM negeri, Md Raidzuan Hassan berkata, selain dapat ke lokasi dalam masa yang singkat, bertindak dengan berkesan serta memberi perkhidmatan terbaik untuk menyelamat mangsa dan harta benda.

Selain itu katanya, pihak bomba berjaya menarik 600 orang menjadi Teman Pili Bomba (TPB) sepanjang tahun lalu dan menyasarkan 200 peratus lagi tahun ini.

“Sejak diperkenalkan TPB kini mempunyai 1,597 ahli dan berharap sebanyak 16,677 pili bomba yang ada di seluruh negeri akan mempunyai teman atau pemilik masing-masing,” katanya.

Menurutnya, setiap pemilik bertanggung jawab menjaga pili bomba yang diibaratkan sebagai ‘anak angkat’ yang perlu diberi perhatian sebaik mungkin.





Lima murid Terengganu wakili bola sepak di Croatia

Lima anak Terengganu terpilih daripada 24 pemain cilik bagi mewakili negara pada kejohanan bola sepak Piala Cappy di Croatia pada 21 hingga 30 Mei ini.

Jurulatih yang juga pengurus pasukan Encik Mat Noor Bidin berkata kesemua pemain yang dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bakal menyahut cabaran bersaing di pentas dunia sekaligus mencari pengalaman di kejohanan berkenaan.
"Hanya Malaysia dari Asia yang dijemput untuk menyertai kejohanan bertaraf dunia itu," katanya kepada pemberita sebelum berangkat ke Bukit Jalil untuk menjalani latihan intensif sebelum berlepas ke Croatia pada 20 Mei ini.

Turut hadir pegawai-pegawai dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu serta ibu bapa pemain-pemain berkenaan.

Encik Mat Noor berkata, pemilihan pemain untuk skuad negara itu telah dibuat daripada 60 orang pemain dari seluruh Malaysia yang dipanggil untuk latihan dan pemilihan dari 23 hingga 28 April lalu.