Halaman

13 May 2012

Rela tubuh dua skuad baru


Oleh: Mohammad Ishak 

Selepas 40 tahun ditubuhkan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)  akan ditukar kepada nama baru yang lebih sesuai dengan sebagai agensi keselamatan negara.

Ketua Pengarahnya, Jeneral Datuk Mustaffa Ibrahim berkata nama baru itu dikenali “Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia” juga dikenali Rela akan mula berkuatkuasa pada 2 Jun ini.

Katanya, pertukaran nama baru yang berimejkan sebuah pasukan keselamatan selaras dengan akta baru Rela yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Menurutnya, meski pun berlaku sedikit perubahan pada pangkal nama tetapi ia masih dikekalkan nama Rela. “Berikutan pindaan baru akta agensi itu pihaknya juga akan melakukan beberapa perubahan dan penyusunan semula fungsi Rela supaya lebih sistematik dan berdaya saing,” katanya kepada media selepas menghadiri Himpunan Setia Rela bersama Pemimpin di Dewan Majlis Daerah Besut,semalam.

Kira-kira 1,000 anggota Rela pelbagai peringkat dari seluruh daerah Besut menghadiri himpunan yang dirasmikan oleh ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh.

Hadir sama Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut dan ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof.

Mustaffa berkata, menjelang akhir tahun ini Rela mengsasarkan jumlah keanggotaanya meningkat kepada 3 juta anggota berbanding 2.4 juta anggota sedia ada.

Beliau berkata,selepas lebih 40 tahun ditubuhkan Rela juga akan mempunyai pasukan profesional yang dikenali Skuad Kejuruteraan dan Skuad Medikal yang akan ditubuhkan pasukan itu tidak lama lagi.

Katanya, penubuhan skuad baru itu sebahagian usaha Rela untuk menarik minat penyertaan rakyat negara ini menyertai agensi itu terutama membabitkan golongan profesional.