Halaman

15 May 2012

Kerajaan selesai masalah penempatan generasi kedua Felda

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berusaha menyelesaikan kira-kira 400 lot tanah untuk diagihkan kepada generasi kedua Felda seluruh Terengganu bagi memastikan golongan itu dapat memiliki tanah sendiri sama ada untuk tapak rumah atau pertanian.

“Mana-mana tanah yang dikenalpasti sebagai tanah kerajaan, kita minta Pejabat Tanah dan Daerah membuat `layout’ dan berbincang dengan pihak berkenaan untuk diagihkan kepada peneroka (generasi kedua) Felda untuk masa depan mereka bagi mendirikan rumah sebagai penempatan mereka. Macam di Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4.

“Di sini (Felda Belara) jika mereka ada tanah yang sudah dikenalpasti, kita buat layout dan kerja-kerja tanah untuk diagihkan. Inilah dinamakan proses pendemokrasian tanah, kalau boleh hendak diagihkan satu lot tapak rumah atau pertanian kepada setiap orang rakyat di Terengganu ,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Warga Felda di Felda Belara, Kuala Terengganu, semalam (13 Mei).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Asha’ari Idris; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Mohamad Ramli Nuh dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Wilayah Terengganu , Haji Abd Malib Abd Rani.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan memastikan perbincangan secara lanjut antara Pegawai Daerah dengan wakil rakyat kawasan untuk mengenalpasti tanah dan membuat ukuran sebelum menyerahkan kepada Pejabat Perancangan Bandar dan Desa bagi tujuan `layout’.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menjelaskan penempatan untuk generasi kedua di Felda Neram sedang rancak dibangunkan untuk kemudahan golongan itu.

“Kita sudah membantu orang Melayu dari pelbagai aspek.. Apa lagi yang kerajaan tidak tolong..Malaysia negara berkebajikan, Terengganu negeri berkebajikan. Mereka (pembangkang) baru nak buat kebajikan.

“Macam orang Kijal (Kemaman)..Durian kita sudah berisi (mengeluar hasil) molek dah..Orang Pas baru cari `butir’ hendak tanam benih,” katanya.