Halaman

15 May 2012

Aktiviti Kebudayaan Marang terus bersinar

Oleh : Amirullah Othman
Gambar oleh Amirullah Othman.

 Majlis Kebudayaan Marang merupakan badan induk yang menyelaras aktiviti kebudayaan dan kesenian peringkat daerah Marang supaya dapat membangkitkan kesedaran masyarakat Marang supaya cintakan kebudayaan dan kesenian setempat.

Majlis Kebudayaan amat menitikberatkan kebajikan badan-badan gabungannya. Ini terbukti apabila satu majlis PERLIMAU murid-murid baru Persilatan Sepelek Gunung Jati dari Kampung Kijing yang dirasmikan Tuan Haji Nik Dir Nik Wan Ku, Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, kelmarin, diadakan dengan meriah dan jayanya.

 Majlis Kebudayaan Marang dipimpin Encik A. Latiff Awang yang cekap menguruskan dan merencanakan setiap aktiviti yang berkaitan kebudayaan dan kesenian di Marang. Beliau juga merupakan bendahari Majlis Kebudayaan negeri Terengganu.

Antara kumpulan kebudayaan dan kesenian yang terdapat di Marang ialah Kumpulan Seni Silat ,Pasukan Rodat, Wayang Kulit, Pasukan Dikir Barat, Penggiat Suara burung/Merbuk, Kumpulan Marhaban, Band/Pasukan Kugiran/Muzik, Kumpulan Tarian Tradisional, Penggiat Permainan Tradisional dan Pengusaha permainan tradisional.

Marang merupakan sebuah daerah yang unik dan kaya dengan pelbagai ciri-ciri kebudayaan antaranya daerah pesisir pantai, Pulau Kapas yang cantik, dialek yang pelbagai, masih banyak kampung tradisi dan terdapat banyak pengusaha makanan tradisi seperti dodol daun palas di Kampung Batangan, pengusaha emping dan loklit di Kampung Undang dan pengusaha laksa tradisional di Kampung Surau Haji Yaakob.

 Antara aktiviti yang di rancang adalah melibatkan penggiat seni budaya sama ada kumpulan dan individu dan program yang dilaksanakan, lawatan/program jalinan muhibbah penggiat seni budaya, seminar kebudayaan dan kesenian peringkat daerah, karnival kebudayaan dan kesenian peringkat daerah dan memperbanyakkan serta mengaktifkan pasukan silat.

Melalui program-program yang dijalankan, pencinta dan penggiat kebudayaan dan kesenian boleh melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat patriotism/jatidiri yang tinggi, sayangkan bangsa melayu melalui persafahaman dan perpaduan kebudayaan dan kesenian sebagai warisan bangsa.