Halaman

17 May 2012

TTITC jalin usahasama dengan MTIB lebarkan industri perkayuan

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra
 
 Perjanjian usahasama antara Terengganu Timber Industri Training Centre (TTITC) dan Malaysian Timber Industri Board (MTIB) ini memberi kelebihan kepada rakyat tempatan untuk bergerak maju dalam industri perkayuan yang kini mendapat permintaan agak tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, selepas termeterainya perjanjian ini, TTITC akan memberi fokus utama terhadap industri perkayuan yang mempunyai masa depan yang cerah.

 “Terengganu terkenal dengan produk perkayuan seperti pembuat kapal, perabut dan kraf berasaskan kayu dan kerjasama dengan MITB ini secara langsung dapat memberi lebih peluang anak tempatan berkembang maju,” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara TTITC dan MTIB di Wisma Darul Iman semalam.

TTITC diwakili Dato’ Toh manakala MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Dr Jalauddin Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains , Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman selaku saksi bagi pihak kerajaan negeri.

Dato’ Toh berkata, dengan termeterainya usahasama ini TTITC akan menawar beberapa kursus baru dalam bidang kemahiran untuk memberi pendedahan anak tempatan meneroka lebih jauh dalam bidang industri perkayuan .

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TTITC berkata, pihaknya bercadang membina bangunan tambahan setelah kerajaan negeri meluluskan 20 hektar kawasan berhampiran kepada TTITC.

“Tahun lalu terdapat 1,214 pelatih telah berjaya menamatkan latihan masing-masing dan telah memasuki alam pekerjaaan manakala tahun ini 1,399 lagi sedang mengikuti latihan dalam pelbagai bidang kursus,” katanya.