Halaman

16 May 2012

Menara tinjau tambah keunikan jambatan

Oleh: Suriati Ali

Jambatan dan menara tinjau akan menjadi mercu tanda baru kepada pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC). - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kerajaan Terengganu akan membina menara tinjau setinggi 10 tingkat sebagai menambah keunikan jambatan yang menghubungkan Kampung Tanjung, Kuala Terengganu dan Seberang Takir.

Manara tinjau yang bakal dibina bersebelah jambatan itu turut dilengkapi restoran sebagai pelengkap menarik minat pelancong tempatan dan luar negara berkunjung ke negeri ini.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kemudahan yang belum diputuskan peruntukan kerana masih di peringkat awal itu adalah kesinambungan daripada projek Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER).

“Jambatan dan menara itu juga dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang akan dibangunkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman (WDI), Kuala Terengganu, petang ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.



Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju meluluskan 1,090 lot tanah rancangan berkelompok membabitkan tiga lokasi berasingan di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 991 lot tanah membabitkan kawasan kediaman dan selebihnya iaitu 99 lot tanah untuk pertanian.

“Kawasan yang diluluskan itu adalah Kampung Jambu Bongkok, Bukit Payung; Jeram Cina, Manir dan Kampung Tajin, Kuala Berang,” katanya.

Katanya, pihaknya bersedia membayar insentif sebanyak RM20,000 kepada empat anak jati Terengganu yang berjaya mengharumkan nama negeri pada Kejohanan Hoki Remaja Piala Asia 2012 di Stadium Bukit Serindit, Melaka, baru-baru ini.

“Insentif yang bakal diterima RM5,000 seorang itu bagi menyuntik semangat pemain supaya terus mencipta kejayaan membanggakan,” katanya.