Halaman

17 May 2012

Lindungi anak yatim dapat ganjaran syurga- isteri MB

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pemimpin Masyarakat, warga pendidik dan badan bukan kerajaan diajak memberi kerjasama dan sokongan berterusan kepada usaha memajukan anak-anak yatim yang berada di sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, ganjaran pahala daripada Allah SWT begitu besar kepada orang-orang yang menjaga dan melindungi anak-anak yatim.

 “Marilah bersegera membuat kebajikan kepada anak-anak yatim sebagai menyahut seruan Nabi Muhammad s.a.w yang menjamin syurga bersama baginda terhadap orang yang menjaga dan melindungi anak-anak yatim,” katanya di majlis Sumbangan Pakaian Raya Anak-anak Yatim daerah Kuala Terengganu di Kediaman Seri Iman semalam.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak pernah berhenti memberi sokongan dalam pembangunan pendidikan untuk melahirkan generasi celik ilmu dan cemerlang pada masa akan datang.

Beliau turut mengingatkan pelajar tahun enam yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi agar belajar bersungguh-sungguh dan dapat keputusan cemerlang.

 Sehubungan itu beliau turut mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada semua warga pendidik di seluruh negeri dan terus memberi khidmat mendidik anak bangsa dengan penuh keikhlasan.

“Masih belum terlambat, saya juga ingin mengucapkan selamat hari ibu kepada semua ibu-ibu diluar sana, meraikan jasa dan pengorbananan seorang ibu sebenarnya tidak terhad pada sesuatu hari sahaja sebaliknya sepanjang masa selagi ibu kita masih hidup,” katanya.

Selain itu, mengingatkan anak-anak yang masih mempunyai ibu agar sentiasa mendengar kata dan jagalah hati ibu kerana doa seorang ibu membawa kejayaan dunia dan akhirat.

Beliau berterima kasih kepada Perkaya kerana usaha murni menjaga dan melindungi anak yatim di negeri ini semoga pertubuhan ini terus menjadi payung serta dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

To’ Puan Seri Norliza kemudiannya menyampaikan pakaian raya berupa sepasang baju kurung (perempuan) dan sepasang baju Melayu (lelaki) kepada 667 pelajar dari 81 buah sekolah dalam daerah Kuala Terengganu.