Halaman

15 May 2012

Majlis Tilawah al-Quran di Padang Astaka, Kemaman malam ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1433H/2012M bakal berlangsung di Padang Astraka, Kemaman, bermula malam ini dan berakhir pada 17 Mei.

Program tiga hari anjuran kerajaan negeri yang membawa tema `Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ bakal dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kira-kira jam 9 malam ini.

Manakala, perasmian penutup serta penyampaian hadiah pula akan disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 17 Mei (Khamis), kira-kira jam 9.10 malam.

Menurut jurucakap program, sebagai pembuka tirai, lima peserta akan mengambil bahagian memperdengarkan bacaan pada malam ini selepas selesai ucapan oleh Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Katanya, pada malam penutup pula, sebaik sahaja Dato’ Mazlan selesai berucap, Sultan Terengganu pula berkenan merasmikan upacara penutup majlis itu.

Sejurus kemudian, hadirin akan dihiburkan dengan persembahan nasyid. Majlis kemudiannya disudahi dengan Sultan Terengganu menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para hakim serta peserta tilawah.