Halaman

15 May 2012

Md Rahim reda dengan penyakit yang dialami

Oleh: Suriati Ali

Pesakit yang mengalami penyakit kulit atau dikenali sebagai Neorofibromatosis, Md Rahim Yatim, 57, reda dengan musibah yang dialami walaupun pakar perubatan mengesahkan beliau tidak akan sembuh.

Beliau yang mempunyai tiga cahaya mata itu kini turut mengalami masalah lumpuh di bahagian badan kiri bermungkinan kesan daripada penyakit keturunan yang dialami sekarang.

Md Rahim berkata, dia terhutang budi dengan mana-mana pihak yang mengambil berat mengenai masalah yang dialaminya walaupun menyedari penyakit itu tidak mampu pulih.

“Penyakit kulit yang dialami mula dikesan sejak umur 25 tahun lalu di mana pada ketika itu terdapat dua hingga empat biji saja di bahagian leher.

“Walaupun pelbagai cara termasuk mendapatkan rawatan cara tradisional dengan mengeluarkan lebih RM10,000, benjolan pada badan tetap tumbuh sehingga memenuhi keseluruhan badan,” katanya selepas menerima kunjungan doktor pakar kulit HSNZ Dr Chong Yew Thong di rumahnya di Kampung Jerung Seberang, Marang, semalam.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Muhammad Omar dan Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, To’ Puan Rosnani Ngah dan beberapa pemimpin setempat.

Md Rahim, berkata apa yang dibimbangi sekarang adalah penyakit yang diperoleh daripada ibu itu kini turut diwarisi anak sulung, Muhammad Amirul, 20 kerana turut didapati ada benjolan sebesar biji guli di bahagian leher.

“Saya buntu memikirkan masalah ini, apatah lagi kini semua pengerakan, termasuk menyuap makanan dan minuman, membuang air serta mandi diuruskan isteri, Maimunah Mat Ali, 44.

“Sebelum diserang lumpuh enam bulan lalu, saya melakukan kerja-kerja kampung dengan mengutip serta menjual buah-buahan, tukang rumah dan sebagainya bagi mendapatkan sumber rezeki kami anak- beranak,” katanya.

“Setelah terlantar, perbelanjaan sekolah anak-anak dan barangan dapur hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500,” katanya