Halaman

17 May 2012

Kerajaan sedia dana raya RM335 juta sejak 2005

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM335 juta bagi menyediakan bantuan Dana Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh penduduk yang layak bermula 2005 sehingga tahun lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 146,543 penerima dengan peruntukan RM43,962,900 (2005), diikuti 153,162 penerima dengan peruntukan RM46,088,700 (2006) dan 162,066 penerima dengan jumlah RM49,540,300 pada 2007.

Manakala seramai 56,290 penerima melibatkan RM47,522,800 (2008), 166,029 penerima yang melibatkan RM50,616,400 (2009), 164,243 penerima dengan jumlah RM164, 243 (2010) dan 176,838 penerima dengan peruntukan RM50,472,400 pada tahun lalu.

Bantuan khas yang disediakan Kerajaan Terengganu kepada ketua keluarga yang berpendapatan bulanan RM1,500 ke bawah termasuk warga emas dan ibu tunggal itu tidak dilaksanakan di negeri lain, sekaligus membuktikan kerajaan negeri sentiasa memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya, khususnya ketika musim perayaan.

Terbaru, peruntukan dana itu kemungkinan bertambah lagi sebanyak 10 peratus selepas kerajaan negeri bersetuju menaikkan kadar had kelayakan pendapatan bulanan ketua keluarga daripada RM1,500 kepada RM2,000, supaya lebih ramai yang layak menerima habuan itu bermula tahun ini.

Seorang penduduk, Puan Sanah Awang, 64, dari Wakaf Mempelam, berkata sejak kembali menetap di Terengganu beberapa tahun lalu,dia mula menikmati bantuan kerajaan itu.

Katanya, sepanjang tinggal di kampung arwah suaminya di Kota Tinggi, Johor, dia tidak pernah mendengar dan mengetahui sebarang bentuk bantuan khas yang disediakan kerajaan negeri setiap tahun kepada penduduk yang kurang kemampuan sebagaimana dilaksanakan di Terengganu.

“Sebagai ibu tunggal, dana raya itu memang membantu dan meringankan bebanan ketika sedang menyiapkan sambutan hari raya. Jumlah itu cukup besar nikmatnya dan kita semua harus mensyukuri pemberian kerajaan yang sudah dinikmati sudah beberapa kali ini,” katanya.

Sementara Encik Yusof Abd Rahman, 73, dari Kampung Teluk Paku, Kuala Terengganu pula berkata, dia sudah tujuh tahun menikmati bantuan khas itu dan berharap kerajaan negeri akan terus menyediakan dana itu kerana banyak manfaat dan keberkatan daripada bantuan itu.

“Insya-Allah kalau panjang umur boleh rasa lagi. Setakat ini Alhamdulillah dana raya banyak membantu meringankan beban keluarga apatah lagi pada musim hendak sambut raya. Memang gembira dan bersyukur sangat dengan keprihatinan pemimpin kita,” katanya.