Halaman

15 May 2012

JKNT saran warga emas jaga kesihatan

Oleh: Suriati Ali

Golongan veteran atau warga emas di Terengganu diminta menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan sihat dan senaman ringan pada setiap hari.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JNKT), Dr Haji Anwa Sulaiman berkata, langkah itu cukup penting jika seseorang itu melepasi usia 50-an supaya mampu mengekalkan kesihatan sempurna sekaligus dapat menjimatkan kos rawatan diri.

Katanya, lazimnya kos untuk mencegahkan penyakit lebih murah berbanding harga perubatan yang perlu ditanggung mereka berpenyakit kronik seperti diabetis, kardiovaskular, paru-paru dan kanser.

“Golongan warga emas tidak patut bersikap sambil lewa mengenai penjagaan kesihatan dengan menganggap mereka sudah tua,” katanya ketika berucap pada Program Sambutan Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Kesedaran Penyakit Kronik peringkat negeri Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang.

Program yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar itu turut dihadiri Timbalan JKNT, Dr Muhammad Omar.

Tetamu kehormat lain, Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Hajah Faizan Ghazali dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagia Marang,To’ Puan Hajah Zaitun Mat Amin.

Pelbagai aktiviti dianjurkan JKNT sempena program sehari itu, termasuk motivasi, sesi Penerangan mengenainya pentingnya penjagaan diri, pameran kesihatan dan demontrasi gerak tari.

Menurutnya, sebagai sebuah jabatan yang sentiasa prihatin kepada kebajikan dan kesihatan warga emas, pelbagai perkhidmatan disediakan semata-mata mahu melihat untuk golongan itu mengecapi kehidupan yang sihat dan ceria.

“Antara program yang dianjurkan termasuk pendidikan, promosi kesihatan, saringan, penilaian tahap kesihatan, pemeriksaan perubatan, kaunseling, khidmat rawatan dan rujukan.

“Perkhidmatan lain, fisioterapi serta terapi cara kerja, aktiviti rekreasi, sosial dan kebajikan. Apa yang ditawarkan itu adalah percuma,” katanya.