Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Nurul Aziela Saberi
Gambar oleh Nurul Aziela Saberi
Sultan Mizan menasihatkan umat Islam supaya tidak mencetuskan huru hara seperti yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam yang suci.
Baginda bertitah keadaan huru hara dan kekecohan yang diwujudkan sesetengah umat Islam di negara berkenaan amat bertentangan dengan kandungan al-Quran dan wajib dihindarkan oleh masyarakat di negara ini.
“Beta mahu umat Islam hidup bersatu padu, saling bekerjasama dan sayang menyayang antara satu sama lain,” titah baginda pada majlis perasmian penutup tilawah al-Quran peringkat negeri Terengganu 2012, di Padang Astaka Kemaman, malam tadi.
Sultanah Nur Zahirah turut berkenaan berangkat pada majlis itu yang turut dihadiri pembesar negeri.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haij Mazlan Ngah dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Kazan Che Mat.
Sultan Mizan tidak mahu kemelut politik dan ekonomi serta keadaan kacau bilau yang berlaku di Timur Tengah melanda negara ini kerana perbalahan antara umat Islam.
Sehubungan itu, baginda meminta rakyat negeri ini menyelesaikan secara baik jika mereka berselisih pendapat dan tidak bermusuhan antara satu sama lain.