Halaman

31 May 2012

Dana Remaja diagih esok

Oleh: Suriati Ali

Anak jati Terengganu terutama golongan belia di negeri ini terus mendapat manfaat daripada kerajaan negeri yang sememangnya prihatin mengenai pelbagai aspek terutama berkaitan kebajikan, kemudahan dan pendidikan.

Terbaru, kira-kira 91,517 belia yang layak di seluruh Terengganu akan menerima Dana Remaja bermula besok (1 Jun) di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Daripada kira-kira RM18.3 juta akan diperuntukan di mana setiap belia berusia antara 18 hingga 40 tahun dan belum berkahwin layak menerima RM200.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jumlah itu meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 83,197 belia membabitkan peruntukan RM16.6 juta menerima dana itu.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan belia dan remaja supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan BN yang sentiasa membela nasib mereka.

“Dalam hal ini, adalah tidak wajar jika golongan belia ‘mengigit’ tangan yang memberi mereka makan.

“Mereka tidak wajar tepengaruh dengan hasutan pembangkang agar membenci Kerajaan BN, sebaliknya menyokong kerajaan pada setiap masa bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,”katanya.


Belanja RM36.26 juta, bayar elaun imam dan bilal

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan kira-kira RM36.26 juta sepanjang tempoh 2008 hingga tahun lalu, bagi membayar elaun kepada 2,100 imam dan bilal seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu, pembayaran elaun sebanyak RM12.95 tahun lalu meningkat sekali ganda berbanding RM6.70 juta pada 2010 berikutan imam dan bilal menerima penyelarasan elaun baru.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata kadar elaun yang diterima golongan itu bermula 1 Januari tahun lalu adalah sebanyak RM800 bagi seorang iman berbanding tiga skim sebelum ini iaitu RM650, RM625 dan RM600.

“Manakala bilal pula dibayar sebanyak RM600 seorang berbanding RM450, RM425 dan RM400,” katanya.

Menurutnya, JHEAT turut membelanjakan kira-kira RM480,000 bagi melaksanakan kursus pengimarahan masjid seluruh Terengganu sepanjang 2010 hingga tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh siri kusus dijalankan pada 2010 dengan melibatkan perbelanjaan hampir RM277,000, manakala lima siri kursus diadakan pada tahun lalu dengan peruntukan RM203,000.

“Seramai 1,830 peserta di kalangan imam dan bilal menyertai kursus mengimarahkan masjid menerusi tujuh siri dengan setiap siri merangkumi tiga sesi sepanjang 2010,” katanya.

Katanya, sehingga kini, lebih 70 peratus peserta berjaya hadir ke setiap sesi kursus yang lazimnya diperuntukkan kepada 100 hingga 120 peserta itu,” katanya.

“Pihak kami akan terus mengadakan program pengimarahan itu bagi memastikan peranan pemimpin barisan depan dalam masyarakat itu akan terus diperkasakan dan di pandang tinggi seluruh umat Islam,” katanya.


JKKK Jalan Tekukur, Gong Lingai muncul johan kampung bersih peringkat negeri

Oleh: Aida Abd Rahman



Menjadikan Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang memenangi pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri 2010/2011 sebagai indikator dan panduan memberi pulangan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Jalan Tekukur, Kuala Terengganu apabila memahat kejayaan serupa bagi kategori dalam kawasan operasi pada tahun ini.



Kemenangan kampung yang memiliki kepadatan 2,750 penduduk dan berbilang kaum diketuai Pengerusi JKKK, Puan Arpah Othman berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta RM250,000 sebagai dana bagi menjalankan projek pembangunan kampung.

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Padang Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu, petang semalam (30 Mei).

Selain menggondol hadiah utama, JKKK Jalan Tekukur turut meraih hadiah terkumpul RM4,000 masing-masing bagi kategori Kebersihan Persekitaran Dalam Kawasan kampung, Keceriaan Landskap, Kawalan Vektor dan Kepimpinan.

Menurut Puan Arpah, sifat muafakat dan kerjasama semua AJK JKKK dan penduduk dengan bantuan penghulu sejak September tahun lalu bagi memastikan kampung mereka boleh memenangi pertandingan yang julung kali disertai itu membuahkan hasil apabila diumumkan johan pertandingan.

Katanya, ramai wanita kampung berkenaan terlibat dengan Industri Kecil Sederhana termasuk mengusahakan makanan seperti sate, karipap, popia, selain mengusaha kedai kek popular di bandar ini, Ziq Bakery & Cake.

“Ziq Bakery turut membantu memberi peluang dan ruang kepada anak muda yang menganggur untuk mempelajari selok-belok penyediaan biskut dan kek sebagai persiapan melibatkan diri dalam perniagaan itu.

“Malah, kami juga akan menganjurkan bengkel perniagaan untuk penduduk kampung bagi memberi pendedahan dan memajukan lagi kampung kami pada masa depan,” katanya.

Selain itu, Puan Arpah berkata balai raya di kampungnya juga akan dinaiktaraf dengan peruntukan RM265,000 bagi dijadikan dewan serbaguna untuk kegunaan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno menjalankan aktiviti persatuan, selain berfungsi sebagai gelanggang badminton serta juga lokasi bagi mengadakan majlis keraian serta kenduri.

Sementara itu, bagi kategori kampung luar kawasan operasi pula dimenangi oleh Kampung Gong Lingai yang membawa pulang wang tunai RM25,000 serta peruntukan RM250,000 bagi menjalankan projek pembangunan kampung.

Selain hadiah kemenangan itu, kampung berkenaan yang diketuai Pengerusi JKKK, Encik Mohamad Mat Ali, 55, itu turut menggondol wang tunai RM3,000 masing-masing bagi kategori Kebersihan Infrastruktur Dalam Kawasan Kampung, Keceriaan Landskap dan kawalan Vektor.





TERIMA KASIH FELDA DAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL…….


Oleh: Mastura Jamaluddin
Gambar oleh Mastura Jamaluddin

“ jangan sesekali lupa pada jasa FELDA yang banyak membantu orang Melayu dalam mengubah kehidupan sehingga menikmati kesenangan yang ada sekarang.

“Bila dah senang, ada segelintir peneroka yang sudah lupa pada jasa FELDA dan menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu, ”demikian pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kepada peneroka Felda yang sudah banyak menerima bantuan daripada kerajaan.

Menurut beliau, sikap lupa diri sesetengah peneroka Felda adalah ciri-ciri mereka yang tidak tahu mensyukuri nikmat yang di terima malah mendengar bisikan-bisikan luar untuk menentang kerajaaan.

“FELDA yang berdiri teguh sekarangan ini ditubuhkan hasil ilham daripada Parti Perikatan yang kini lebih di kenali sekarang Barisan Nasional,” katanya pada majlis perjumpaan dengan warga Felda Bukit Bading, semalam.

Durian runtuh sebanyak RM8,775,000 dalam bentuk cek telah di serahkan kepada peneroka yang diwakili Ketua Peneroka Felda Bukit Bading, Abdul Rahman Hassan.

FELDA Bukit Bading merupakan FELDA yang tertua di daerah Hulu Terengganu dan merupakan kawasan penerokaan terbaik di negeri Terengganu.

Majlis tersebut diteruskan lagi selepas itu dengan Perasmian Pecah Tanah 130 Lot Perumahan Generasi Baru oleh YAB Menteri Besar dan diikuti dengan persembahan kebudayaan pada sebelah malam.



Promo Teganu Kita @ Tv3! (Setiap Khamis - 6.00 petang)




Penerangan anjur Pidato 1Malaysia 2012 untuk bukan Melayu

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) mempelawa warga Malaysia bukan Melayu bagi menyertai Pertandingan Pidato 1Malaysia 2012 (Bukan Melayu) peringkat Negeri Terengganu yang akan diadakan di Kolej Komuniti Kuala Terengganu pada 21 Jun ini.

Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata program tahunan ini menawarkan hadiah berjumlah RM4000 dengan johan akan menerima wang tunai RM1500, RM1000 (kedua), RM500 (ketiga) manakala lima hadiah sagu hati RM500 setiap pemenang.

Katanya, pertandingan yang bertemakan nilai-nilai murni itu bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan serta kefahaman orang ramai mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia selain memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dikalangan pelbagai kaum dalam kehidupan harian.

"Kita juga berharap dengan penganjuran program ini dapat menyubur serta mengekalkan semangat perpaduan di kalangan warga Malaysi, "katanya.

Kepada mereka yang berminat, boleh melayari lama sesawang JPNT di http://www.penerangan.gov.my/terengganu atau hubungi Encik Mohd Iskandar Jaafar di talian 012 9649939/ 019 9605939 atau Encik Hong Kam Chiong di talian 09 6267826.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 17 Jun 2012.





Peruntukan kebersihan tinggi, mentaliti masyarakat rendah

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar kesal dengan mentaliti masyarakat Terengganu yang masih gagal menjaga kebersihan persekitaran sedangkan kerajaan memperuntukan jumlah hampir RM40 juta setahun bagi menjayakan usaha itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masih banyak ruang dan peluang yang boleh ditingkatkan dalam aspek kebersihan bagi memastikan seluruh pihak berganding bahu memanfaatkan peruntukan besar yang disediakan kerajaan khususnya bagi membiayai kontrak kebersihan bermula dari sempadan Terengganu-Kelantan sehingga sempadan Terengganu-Pahang.

“ Pelbagai kerja kontrak kebersihan dilakukan termasuk memotong rumput, mengangkut sampah dan membersihkan longkang. Bagaimanapun, masih banyak lagi longkang tidak diuruskan dengan sempurna. Sudah menjadi tabiat orang kita mencampak puntung rokok, sampah-sarap..kertas serta plastik di bahu-bahu jalan terutama di kawasan lampu isyarat.

“Saya berharap budaya menjaga kebersihan di kalangan masyarakat kita berubah..sebab itu saya masih tidak berpuas hati. Pagi jalan raya bersih bagaiamanapun apabila menjelang petang sudah mula ada sampah dan kekotoran disebabkan sikap pengguna jalan raya termasuk masyarakat kita yang tidak prihatin dengan kebersihan,” katanya di sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu 2011/2012, di Padang Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu, petang semalam (30 Mei).


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat.

Menteri Besar turut tidak berpuas hati dengan sikap segelintir kakitangan awam yang gagal mengurus kuaters kerajaan yang didiami mereka sehingga kotor dan ditumbuhi semak-samun.

Katanya, sebagai penjawat awam, penghuni kuaters berkenaan seharusnya mengambil inisiatif bergotong-royong sesama mereka pada setiap petang untuk membersihkan kawasan persekitaran tempat tinggal mereka.

Malah, apa yang lebih dikesalkan lagi ada di kalangan penghuni kuaters bertindak membela haiwan ternakan dan membina reban sehingga mencemarkan pandangan serta persekitaran, selain mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

“Sesetengah daripada penghuni kuaters bertindak membela ayam dan ternakan sehingga kacau ganggu jiran. Perkara ini mesti dielakkan,” katanya.




30 May 2012

Pas guna artis tarik orang ramai hadir ceramah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Bagi orang terdesak, mereka akan menggunakan apa saja yang ada di sekeliling dan boleh mendatangkan faedah kepada mereka. Begitulah yang terjadi kepada Pas yang kebelakangan ini menggunakan beberapa artis bagi menarik orang ramai hadir ke cemarah mereka.

Sebelum ini, antara artis yang dijadikan ‘umpan’ oleh Pas untuk menarik minat orang ramai datang ke ceramah mereka ialah Bob Lokman dan Catriona Ross.

Kedua-dua artis tersebut telah ‘dijaja’ ke segenap pelosok sebagai ‘pelaris’ ceramah-ceramah Pas yang kian merosot kehadirannya akibat isu-isu lapuk diputarkan oleh penceramahnya.

Terbaru, seorang pelakon berstatuts janda, Abby Abadi pula ‘dijaja’ Pas untuk tujuan yang sama.
Dengan kehadiran Abby pada ceramah Pas, orang ramai menyangka atris berkenaan telah masuk Pas dan berjuang untuk parti tersebut.



Bagaimanapun, pelakon tersebut tampil memberi penjelasan di laman twitternya menafikan dia hadir dalam majlis Pas kerana minat pada perjuangan parti itu.

Sebaliknya, artis tersebut mendedahkan taktik busuk pemimpin Pas yang mengajaknya turut berada di pentas politik parti itu.

Perkembangan mutakhir Pas menggunakan artis untuk menarik minat orang ramai datang ke ceramah mereka secara jelas menzahirkan kaedah terdesak parti itu menggunakan individu tertentu bagi kepentingan politik mereka.

Inilah sikap sebenar pemimpin Pas yang bijak menggunakan peluang yang terhidang untuk ‘menjerat’ orang ramai dalam memberi sokongan kepada parti mereka.

Pemimpin Pas sebenarnya sudah tidak ada isu untuk menarik minat orang ramai datang ke ceramah mereka, lalu mereka menggunakan artis sebagai umpan.

Khabarnya ramai yang mengeluh apabila artis yang dipanggil sebagai penceramah sebenarnya mahu memberitahu orang ramai bahawa mereka kini sudah insaf setelah sekian lama hidup bergelumang dengan maksiat ketika menjadi artis dan kini mahu kembali ke pangkal jalan.

Sepanjang cermah tersebut, artis berkenaan tidak pun menyentuh pasal Umno atau Barisan Nasional (BN), mahu pun mengutuk pemimpin kerajaan BN seperti yang sering dilakukan pemimpin Pas.

Maka hampalah penyokong-penyokong Pas yang selama ini sering disogokkan dengan kata-kata hina dan nista terhadap pemimpin BN seperti yang dilakukan pemimpin mereka.





RM55 juta dana raya, RM24 juta dana bakti remaja

Oleh FAUZI MOHD

KERAJAAN negeri akan membelanjakan kira-kira RM55 juta untuk dana hari raya bagi menambahkan keriangan rakyat berpendapatan rendah pada Aidilfitri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, dana itu dijangka mula diagihkan pada Ramadan ini dengan jumlah penerima dijangkat meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu.



"Tahun lepas kita beri kepada lebih 176,000 penerima dan tahun ini, kita jangka ia bertambah 10 peratus," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, dana raya diagihkan dalam tiga peringkat iaitu kepada warga emas sebanyak RM200, keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) serta yang mempunyai ramai tanggungan (RM400).

Jelas beliau, kelayakan untuk pemberian dana raya tahun ini juga dinaikkan daripada mereka yang berpendapatan isi rumah RM1,500 kepada RM2,000.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk naikkan pendapatan isi rumah kepada RM2,000 seiring dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi bantuan kepada keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah,” katanya.

Tahun lalu, kerajaan negeri membelanjakan RM50.47 juta bagi tujuan itu, RM46.88 juta (2010), RM50.62 juta (2009) dan RM47.52 juta (2008).

Sementara itu katanya, Kerajaan Terengganu juga sedang mengemaskini data bagi bantuan Dana Bakti Remaja RM200 seorang yang akan diagihkan bermula Jun ini.

Tahun lalu kata Dato’ Seri Ahmad, sejumlah RM24 juta dibelanjakan untuk program bantuan itu, RM23.42 juta (2010), RM23.15 juta (2009) dan RM18.69 juta (2008).

“Tahun ini, kita jangkakan kira-kira 95,000 remaja mendapat manafaat daripada program berkenaan di seluruh negeri dengan perbelanjaan hampir RM24 juta,” ujarnya.


Peniaga di premis Maidam mesti jelas sewa ikut waktu

Oleh; Esah Abdullah

Semua peniaga yang menduduki premis milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bakal berdepan tindakan tegas jika liat menjelaskan sewa bulanan pada waktu yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman mengesahkan terdapat peniaga memberi pelbagai alasan bila tiba waktu pembayaran.

“Kita tidak boleh berkompromi lagi dalam hal ini dan akan mengunci premis yang didapati tidak dapat menjelaskan sewa bulanan mereka,” katanya.

Katanya, semua kedai dan perumahan yang dibina di tanah baitulmal disewakan dan dengan cara itu hasil Maidam yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada kutipan zakat akan bertambah.

Katanya, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas dengan mengunci premis jika peniaga gagal membayar sewa bulanan dua bulan berturut-turut sebab ia melibatkan harta baitulmal.

Menurutnya, Maidam akan terus memajukan sebahagian daripada tanah Baitulmal di negeri ini dengan melaksanakan pelbagai projek termasuk pembinaan bangunan perniagaan dan perumahan.

“Semua premis dan perumahan disewakan kepada orang ramai untuk meningkat pendapatan dan akan disalurkan kepada golongan asnaf yang memerlukan,” katanya.