Halaman

30 May 2012

Peniaga di premis Maidam mesti jelas sewa ikut waktu

Oleh; Esah Abdullah

Semua peniaga yang menduduki premis milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bakal berdepan tindakan tegas jika liat menjelaskan sewa bulanan pada waktu yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman mengesahkan terdapat peniaga memberi pelbagai alasan bila tiba waktu pembayaran.

“Kita tidak boleh berkompromi lagi dalam hal ini dan akan mengunci premis yang didapati tidak dapat menjelaskan sewa bulanan mereka,” katanya.

Katanya, semua kedai dan perumahan yang dibina di tanah baitulmal disewakan dan dengan cara itu hasil Maidam yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada kutipan zakat akan bertambah.

Katanya, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas dengan mengunci premis jika peniaga gagal membayar sewa bulanan dua bulan berturut-turut sebab ia melibatkan harta baitulmal.

Menurutnya, Maidam akan terus memajukan sebahagian daripada tanah Baitulmal di negeri ini dengan melaksanakan pelbagai projek termasuk pembinaan bangunan perniagaan dan perumahan.

“Semua premis dan perumahan disewakan kepada orang ramai untuk meningkat pendapatan dan akan disalurkan kepada golongan asnaf yang memerlukan,” katanya.