Halaman

27 May 2012

Ukom anjur Program Mencandat Sotong

Oleh: Suriati Ali

Aktiviti mencandat sotong yang dulu menjadi punca rezeki nelayan kini melalui transformasi hingga mendapat perhatian ramai apabila diberi nilai tambah sebagai pakej pelancongan baru di Terengganu, sekali gus menjana ekonomi setempat.

Aktiviti mencandat sotong yang menjadi warisan sejak zaman-berzaman kini diiktiraf ikon pelancongan yang hanya ada di negeri ini.

Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri (Ukom) menganjurkan Program Mencandat Sotong, Pemimpin Bersama Media 2012 di persekitaran Pulau Kapas, Kuala Terengganu, selama dua hari satu malam.

Program yang bermula hari ini disertai kira-kira 52 warga media dari pelbagai agensi, termasuk Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Berita Harian, Utusan, Sinar Harian dan Bernama.

Pemimpin yang turut serta, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Muhammad Ramli Nuh.

Semua peserta dikehendaki berkumpul di jeti pelabuhan Lembaga Perikanan Ikan Malaysia (LKIM) kira-kira jam 5 petang sebelum bertolak ke lokasi yang ditetapkan.

Pengarah Ukom Haji Shamsuddin Sulong, berkata aktiviti mencandat sotong boleh dikategorikan sebagai produk pelancongan kerana ia mampu menggamit kehadiran pengunjung

"Hasil program sebegini, ia berjaya memperkenalkan aktiviti ini kepada pelancong dalam dan luar negara yang kebanyakannya datang secara pakej.

“Apabila mereka datang ia bukan saja mampu memberi pendapatan kepada pemilik bot, malah pengusaha chalet, pemilik restoran, pemandu teksi dan peniaga kraftangan turut merasai limpahan rezeki.