Halaman

30 May 2012

Teroka sains mampu cipta teknologi

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat terutama pelajar tidak wajar menganggap bidang sains itu terlalu sukar untuk difahami berbanding mata pelajaran lain.

Pengarah kanan (Program Pengkomersilan dan perancangan Teknologi) Agensi Nuklear Malaysia, Dr Zukifli Mohamed Hashim, berkata, jika mempunyai minat mendalam, tidak mustahil bidang sains akan menjadi mudah untuk diteroka kerana bidang ini cukup unik dan menarik.

Katanya, jika seseorang itu bijak memanfaatkan ilmu sains yang ada, kita boleh mencipta pelbagai teknologi canggih sepertimana tokoh tersohor sebelum ini di mana pernah mencipta, telefon, kapal terbang, robot dan sebagainya.

“Bidang sains kadang kala mempunyai satu stigma di kalangan masyarakat bahawa ia terlalu sukar untuk difahami oleh orang yang bukan berkecimpung dalam bidang sains.

“Oleh itu, bagi menyemarakkan perkembangan ilmu tersebut agar ia terus menyelinap di segenap masyarakat dan mereka mampu menghargai ilmu yang diterokai itu, sains perlu dimasyarakatkan,” katanya ketika berucap pada Seminar Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2012, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, hari ini.

Seminar anjuran DBP dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia yang bertema `Manjana Idea Menyerlah Karya’ itu disertai lebih 100 peserta pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Topik yang dibentang dalam program itu merangkumi cabaran hak cipta, undang-undang, peranan dan masa depan penerbitan saintifik.

Dr Zukifli memberitahu usaha penyampaian ilmu dan pembudayaan sains perlu diberi nafas baru agar tidak menjadi sekadar penemuan atau aktifak.