Halaman

30 May 2012

Muslihat `saudagar janji '

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap kenyataannya sekadar retorik demi meraih perhatian umum. Apa yang lebih tepat, memastikan orang ramai percaya dan terpengaruh lalu melayakkan pemilik nama `Anwar Ibrahim’ dan konco-konconya mampu menawan Putrajaya sekaligus mengetuai pentadbiran negara. Itulah penangan tindakan puak pembangkang yang diumpamakan sebagai `saudagar janji’.

Muslihat demi muslihat dengan mempertaruhkan ` janji mega’ walaupun mereka sedar segalanya tidak realistik dan sukar dikotakan sama sekali.

Terbaru, puak penentang kerajaan yang diketuai Anwar Ibrahim itu berjanji untuk memberikan peneroka Felda RM50,000 dan bukan RM15,000 sebagaimana ganjaran sedang diagihkan kepada golongan itu oleh Kerajaan Pusat.

Angka yang cukup lumayan, berbanding RM15,000 yang sedang diagihkan Kerajaan BN dan Umno kepada peneroka di seluruh negara hampir sebulan lalu.

“Mereka tidak pernah mengimpikan mendapat RM15,000 ini. Tetapi biasalah, apabila kerajaan beri RM15,000 pembangkang kata kerajaan tiada duit. Apabila mereka memerintah pula mereka kata mahu beri RM50,000..Payahlah (putar-belit) begini.

“Inilah yang dikatakan `saudagar janji’. Hanya berjanji sahaja..memang mudah berjanji. Saya pun boleh berjanji. Tetapi sama ada boleh buat atau tidak,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, baru-baru ini.

Ironinya, Perdana Menteri mengumumkan habuan berjumlah RM1.689 bilion kepada 112,000 warga peneroka, di mana jumlah itu lebih besar berbanding dengan peruntukan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Durian runtuh itu akan diagihkan menerusi tiga fasa, di mana fasa satu RM5,000 untuk setiap peneroka, diikuti dengan fasa dua berjumlah RM5,000 kepada setiap isteri peneroka dan yang terakhir, fasa ketiga RM5,000 lagi akan diberikan kepada setiap peneroka generasi kedua Felda (anak-anak peneroka) dan jumlah itu belum termasuk pemberian saham Felda Global Ventures Holding.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, durian runtuh yang diterima peneroka Felda sebagaimana diumumkan Dato’ Sri Mohd Najib itu suatu yang tidak pernah terlintas di fikiran golongan peladang itu.

Pemimpin pembangkang itu cuba mengalih pandangan golongan yang sudah banyak mengalami transformasi hasil kecaknaan kerajaan yang menyediakan tanah rancangan bagi mereka mencurah keringat dalam sektor perladangan sekaligus berupaya melonjak ekonomi negara masa kini.

Bukan hanya kepada peneroka, janji pertama dan masih tidak luput di benak yang seringkali ditabur kepada umum adalah untuk menurunkan harga minyak sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri.

Angkara keinginan yang membuak-buak mendapatkan jawatan Perdana Menteri, Anwar sanggup membuat janji yang tidak masuk akal bersandarkan alasan Petronas memperolehi keuntungan puluhan bilion ringgit setiap tahun dan atas alasan itu harga minyak seharusnya diturunkan.

Walaupun mendabik dada lapan tahun menjadi Menteri Kewangan,malangnya Anwar gagal memberi idea dan buah fikiran yang bernas kerana semua rakyat faham dan sedar, harga minyak petrol, diesel dan lain-lain bahan api dalam pasaran bergantung secara keseluruhannya kepada harga bahan komoditi berkenaan di pasaran dunia.

Umum juga sedia maklum, Malaysia secara amnya masih menjadi negara pengeksport minyak mentah, namun harga bahan api di pasaran tempatan tetap berkait rapat dengan pasaran dunia. Lantaran itulah kerajaan tetap memberi subsidi dalam jumlah yang besar walaupun harga minyak terpaksa dinaikkan.

Retorik yang diuar-uarkan `saudagar janji’ bagi menurunkan harga minyak tidak berpaksi kepada realiti kewangan negara dan pada jangka panjang akan melemehkan kedudukan ekonomi Malaysia.

Selain isu minyak, banyak lagi yang dijanjikan Pakatan Rakyat (PR) termasuk menawarkan gaji minimum RM1,100 jika diberi mandat menerajui Kerajaan Pusat. Kadar itu RM200 hingga RM300 lebih tinggi berbanding paras diumumkan oleh Kerajaan Pusat, baru-baru ini.

Pada 30 April lalu, Perdana Menteri mengumumkan kadar gaji minimum RM900 bagi pekerja-pekerja di Semenanjung dan RM800 bagi mereka yang bekerja di Sabah dan Sarawak.

Manakala dalam Bajet 2012, Kerajaan Selangor yang diperintah PR mengumumkan gaji minimum RM1,500 bagi pekerja-pekerja syarikat berkaitan kerajaan.

Anwar berkata, mereka boleh menguatkuasakan kadar gaji minimum RM1,1000 kerana ia memadai dengan harga minyak dan barang diturunkan serta memberi pendidikan percuma.

“Sebab itu saudara kena faham gaji minimum RM900 dengan harga barang melambung naik, dengan pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dengan harga minyak tak turun memang tidak mencukupi bagi keluarga yang hidup di bandar,” kata Anwar ketika berucap pada majlis Himpunan Pekerja bertemakan "Menjulang Martabat Pekerja" anjuran Kerajaan Selangor di Stadium Melawati, pada Mei lalu.

PR juga menabur janji untuk mengambil alih semua konsesi tol yang meraih untung terlampau besar, bermula dengan konsesi Lebuh Raya MEX.

Rakyat sudah mampu menilai `semua sandiwara’ yang dimainkan golongan yang `terdesak’ bagi memastikan cita-cita yang dicanang bersama rakan akrab - Pas dan DAP itu mampu menjadi kenyataan, sedangkan diri sendiri diulit pelbagai skandal dan isu moral yang memual dan menyesakkan dada.