Halaman

02 June 2012

Jaga kebersihan, bantu promosi pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan persekitaran turut membantu kejayaan mempromosikan sektor pelancongan negeri yang diibaratkan sebagai `serampang dua mata’, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Katanya, kebersihan serta keceriaan menjadi elemen utama yang membantu mewujudkan persekitaran menarik dan selesa, selain menarik kunjungan pelawat dalam mahupun luar negara ke satu-satu lokasi.

“Selain itu, sokongan, keazaman dan kesedaran masyarakat setempat dalam isu kebersihan amat diharapkan bagi memastikan program ini tidak sekadar hanya satu pertandingan, sebaliknya mampu menjadi ingatan yang baik dalam mendidik masyarakat untuk cintakan kebersihan.

“Pembentukan budaya mencintai kebersihan amat wajar digembeleng di seluruh peringkat tanpa mengira golongan,” katanya ketika berucap dimajlis penyampaian hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu 2011/2012, di Padang Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu, petang semalam (30 Mei).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat.

Dato’ Mazlan berkata, pembangunan insan juga menjadi asas penting dalam pembangunan negeri dan tidak hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata di mana semua masyarakat perlu kaya dengan budi bahasa dan akhlak mulia termasuk dalam aspek menjaga kebersihan.

Oleh itu, katanya selain program kebersihan kampung peringkat negeri, kerajaan negeri juga menganjurkan program aktiviti pendidikan kebersihan, pertandingan kebersihan dan keceriaan tabika, pertandingan kebersihan premis makanan, pertandingan kebersihan tanah perkuburan Islam, pertandingan kebersihan dan keceriaan masjid dan surau serta pelbagai pertandingan kebersihan peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.

Beliau berkata, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM2.4 juta bagi menjayakan kesemua program berkenaan.

Selain itu, beliau juga berharap semua kampung menjadikan kampung terbersih dalam daerah mereka sebagai model dan contoh terbaik serta penanda aras kepada pencapaian kampung masing-masing.