Halaman

29 May 2012

PMINT anjur larian perdana

Oleh: Suriati Ali

Larian Perdana Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang akan diadakan pada 23 Jun depan, menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM45,000 kepada peserta.

Urusetia program memerangkap Pengurus Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman berkata pihaknya mensasarkan 3,000 penyertaan di kalangan masyarakat Terengganu dengan mengenakan yuran yang sangat berpatutan iaitu RM10.

Katanya, pembayaran yuran penyertaan mestilah dibuat sebelum atau pada 21 Jun secara tunai atau wang pos. Baju T akan diagihkan kepada peserta pada hari bermulanya larian.

“Larian yang berkonsepkan `lari suka-suka’ dengan jarak tidak melebihi 10 kilometer (km) itu akan melalui beberapa lokasi menarik di sekitar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Trek larian bermula di dataran Taman Shah Bandar melalui Jalan Tok Lam dan Jalan Engku Fatimah di mana peserta larian akan melalui bangunan PMINT,” katanya pada sidang media di pejabat PMINT, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, peserta kemudiannya meneruskan larian melalui Jalan Sultan Ismail mengelilingi Bulatan Batu Bersurat dan Jalan Sultan Mahmud sebelum menyusuri Jalan Pantai Batu Burok dan kemudiannya akan melintasi Jalan Sultan Zainal Abidin.

“Kemucak larian atau garisan penamatnya akan berakhir di tempat di dataran Taman Shah Bandar iaitu lokasi sama ketikan memulakan acara.

“Pihak kami percaya pendekatan itu mampu menggalakkan rakyat Terengganu menyertai aktiviti kecergasan dan rekreasi di samping menyahut hasrat kerajaan yang ingin melahirkan masyarakat cerdas, sihat, berwibawa dan aktif,” katanya.