Halaman

27 May 2012

Lonjak pelancongan sasar 4 juta pelawat TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan memperkasakan usaha melonjak sektor pelancongan negeri bagi memastikan sasaran kira-kira empat juta pelancong mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) tercapai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata antara langkah bagi memastikan hasrat itu mampu direalisasikan adalah menerusi penganjuran pelbagai karnival dan pesta bertaraf antarabangsa yang mampu menarik tumpuan pelawat tempatan serta luar negara.

“Malah, masih banyak ruang dan peluang yang belum kita eksploitasi sepenuhnya terdapat di Terengganu termasuk kelebihan negeri ini yang mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, pulau dan tasik terbesar di Asia Tenggara.

“Kerajaan sanggup mengeluarkan belanja yang besar bagi mewujudkan infrastruktur berkaitan pelancongan yang mampu memberi faedah secara langsung kepada rakyat serta mendatangkan keuntungan lumayan kepada negeri dan rakyat Terengganu khususnya ,” katanya ketika merasmikan Pesta Pantai Terengganu, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, semalam (25 Mei).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Menteri Besar turut berharap, jumlah kedatangan pelancong dan kemeriahan penganjuran pelbagai program tarikan pelawat tidak hanya tertumpu pada TMT 2013 sahaja, sebaliknya akan berterusan pada tahun-tahun seterusnya memandangkan sektor itu menjadi tulang belakang ekonomi negeri.

Untuk rekod, sejumlah 3.8 juta pelancong mengunjungi Terengganu pada tahun lalu, manakala sasaran 3.9 juta pelancong melawat Terengganu pada tahun ini.

Dalam perkembangan yang lain, kerajaan negeri berhasrat untuk memindahkan Pesta Pantai Terengganu ke muara utara atau Pantai Teluk Ketapang yang lebih sinonim dengan acara `main pantai’ sebagai kesinambungan warisan kebudayaan negeri ini.

“Selepas sekian lama Pesta Pantai Terengganu tidak diwujudkan, ia kini muncul kembali. Walaupun kali ini tidak benar-benar di tepi pantai, berada di tepi laut dan tepi sungai .. tiada pantai di sebelahnya. Insya-Allah, pada tahun depan kita memindahkannya ke (pantai) muara utara atau pantai Teluk Ketapang pula,” katanya.