Keprihatinan kerajaan negeri mengiktiraf bekas atlet yang pernah mengharumkan nama Terengganu dan negara di peringkat antarabangsa sewajarnya dipuji dan dicontohi.
Sumbangan pakej umrah 2012, masing-masing bernilai RM6,800 kepada bekas pemain bola sepak (Kejohanan Olimpik Musim Panas 1972), Encik Harun Jusoh dan bekas pesilat negara (pingat emas acara silat Sukan Sea), Encik Abdul Razak Ismail nyata mengembirakan mereka berdua.
Encik Harun yang sebelum ini pernah menerima insentif khas berjumlah RM5,000 tidak menduga apabila sekali lagi dipanggil Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk menerima sumbangan pekej umrah yang cukup berharga dan bermakna buat dirinya.
“Saya begitu terharu dan bangga dengan komitmen kerajaan negeri kerana sudi mengiktiraf sumbangan walaupun hampir 40 tahun meninggalkan arena bola sepak,” katanya kepada Teganukita selepas Majlis Penyampaian Insentif di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Majlis yang dirasmikankan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden PSTNT, Encik Shapian Ali.
Menteri Besar turut mengagihkan RM95,000 kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) kerana berjaya menjulang nama Terengganu pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Khir Johari di Manjong, Perak, 4 hingga 8 April lalu.
Seramai 19 pemain termasuk pegawai menerima insentif itu di mana setiap individu memperoleh RM5,000.
Encik Razak berkata, sumbangan yang diterima itu cukup bernilai buat dirinya kerana belum pasti dia dapat mengerjakan umrah dengan hasil titik peluhnya sendiri yang hanya bekerja sendiri jika tiada penghargaan seumpama itu.
Katanya, dia menyarankan kepada anak muda yang meminati bidang sukan supaya gandakan usaha dan komitmen.
“Apa yang diusahakan itu tidak akan menjadi sia-sia kerana kerajaan kini banyak membantu bukan saja berkaitan sokongan moral malah kewangan juga dibantu.
“Atlet kini cukup beruntung kerana mereka sentiasa dihargai oleh pelbagai pihak supaya terus cemerlang dan gemilang di persada antarabangsa,” katanya