Halaman

27 May 2012

MBKT sasar RM14 juta hasil cukai pintu

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) yakin sasaran RM14 juta kutipan cukai taksiran (cukai pintu) berjaya dicapai berdasarkan pencapaian memberangsangkan pada tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarah Bahagian Penilaian Pengurusan Harta MBKT, Puan Zanila Ibrahim berkata, pihaknya berjaya memperolehi RM4 juta kutipan hasil cukai pintu dalam tempoh empat bulan pertama tahun Ini.

Katanya, melalui kaunter bergerak yang dibuka sejak Februari lalu di beberapa lokasi di bandar dan di kawasan perumahan telah memberi kemudahan kepada orang ramai membayar cukai pintu masing-masing.

“Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai agar membayar cukai pintu termasuk mengedarkan risalah dan sebagainya,” katanya kepada Teganukita.

Menurut Puan Zanila, tahun lalu sebanyak RM12.3 juta berjaya dikutip dan RM10.8 juta pada 2010 terdiri daripada cukai kediaman, perniagaan/industri, hotel dan juga stesen minyak.

Tambahnya, selain membayar cukai pintu di kaunter-kaunter bergerak yang disediakan, orang ramai juga boleh membuat semakan bil dan pertanyaan serta khidmat nasihat yang diperlukan.