Halaman

31 May 2012

Dana Remaja diagih esok

Oleh: Suriati Ali

Anak jati Terengganu terutama golongan belia di negeri ini terus mendapat manfaat daripada kerajaan negeri yang sememangnya prihatin mengenai pelbagai aspek terutama berkaitan kebajikan, kemudahan dan pendidikan.

Terbaru, kira-kira 91,517 belia yang layak di seluruh Terengganu akan menerima Dana Remaja bermula besok (1 Jun) di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Daripada kira-kira RM18.3 juta akan diperuntukan di mana setiap belia berusia antara 18 hingga 40 tahun dan belum berkahwin layak menerima RM200.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jumlah itu meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 83,197 belia membabitkan peruntukan RM16.6 juta menerima dana itu.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan belia dan remaja supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan BN yang sentiasa membela nasib mereka.

“Dalam hal ini, adalah tidak wajar jika golongan belia ‘mengigit’ tangan yang memberi mereka makan.

“Mereka tidak wajar tepengaruh dengan hasutan pembangkang agar membenci Kerajaan BN, sebaliknya menyokong kerajaan pada setiap masa bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti,”katanya.