Halaman

27 May 2012

Prasarana sukan RM7.4 juta untuk SMK Bukit Nenas

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan menyediakan peruntukan RM7.4 juta bagi menyediakan prasarana sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas Terengganu, Setiu bagi meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat berkata antara kemudahan sukan yang diterima sekolah itu termasuk dewan sukan serbaguna berbumbung, astaka, trek olahraga dan kerja menaik taraf padang bola sepak.

Katanya kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM600,000 setahun kepada sekolah melalui kemudahan biasiswa pelajar.

"Dengan adanya kemudahan prasarana sukan yang serba lengkap di sekolah ini, kita berharap usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai juara dalam bidang sukan mampu direalisasikan dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan prasarana sukan kepada Pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Zamli Muda.