Halaman

01 June 2012

Laksana tugas dengan jujur

Oleh; Esah Abdullah

Segala pengorbanan dan tanggung jawab yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terhadap penduduk tempatan dapat menjadi satu legasi kecemerlangan sebagai ikutan penambahbaikan untuk generasi seterusnya.



Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail berkata, laksanakan tugas dengan jujur dan setia kerana apa yang dilakukan pasti menjadi sebutan generasi akan datang.

“Ketika kita memegang jawatan laksanakan tugas sebaik mungkin, jaga kebajikan rakyat dan pertahankan kerajaan memerintah,” katanya di majlis Perjumpaan Menteri Besar bersama JKKK Daerah Kuala Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu semalam.



Katanya, menjadi tanggung jawab JKKK menyampaikan mesej kerajaan kepada masyarakat kampung, jaga kebajikan, jaga kebersihan dan sebagainya.

“Kalau bukan kita, siapa? dan kalau bukan sekarang, bila?. Kampung kita adalah tanggung jawab kita tidak akan ada orang luar yang akan datang untuk jaga,bersih,bantu melainkan kita sendiri,” katanya.

Pada majlis itu, JKKK Kampung Undang terpilih sebagai JKKK paling cemerlang 2011 manakala JKKK Kampung Laut kedua terbaik dan JKKK Wakaf Mempelam tempat ketiga.

JKKK cemerlang menerima wang tunai RM3,000, RM2,000 (kedua) dan RM1,000 (ketiga) manakala 10 JKKK terpilih menerima saguhati RM500.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan hadiah kepada semua JKKK yang menang.