Halaman

29 May 2012

Sukma 2012 – Terengganu sasar 40 emas pertahan kejuaraan

Oleh FAUZI MOHD

Meskipun belum meletakkan sasaran spesifik perolehan pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang Julai ini, juara bertahan Terengganu yakin untuk mengumpul lebih 40 pingat emas pada temasya kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat berkata, keyakinan untuk memperoleh jumlah tersebut bersandarkan kepada keupayaan atlet baru dan program pembangunan sukan yang berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, pada penyertaan kali ini, atlet baru akan diberikan kepercayaan bersaing untuk mendapatkan pingat emas.

"Kita mempunyai ramai atlet baru dan pemantauan akhir menggambarkan bahawa Terengganu bakal memberi saingan yang lebih kuat malah kita yakin mampu menjadi juara buat kali keempat.

"Buat masa ini sasaran pingat emas tidak boleh berikan secara terperinci namun saya percaya Terengganu mampu melakukan yang terbaik pada penganjuran kali ini," katanya selepas majlis pelancaran program Evolusi R semalam.

Evolusi R adalah satu program anjuran Pertubuhan Penunggang Motosikal Bersatu Malaysia (Riders & Rempit United) untuk membangunkan komuniti remaja bermotor selain menghindari generasi muda daripada terjebak dengan gejala negatif.

Sementara itu, Rozi berkata, acara yang diyakini mampu untuk menyumbang pingat emas buat Terengganu pada Sukma kali ini ialah basikal, angkat berat dan sukan tempur.

"Tahun ini acara kanu tiada dipertandingkan tambahan pula ada beberapa atlet kami yang bakal menyertai Sukan Olimpik namun kita yakin dalam acara yang ada kami masih mampu untuk mendapatkan pingat emas.

"Seperti yang kita tahu ada atlet muda kami telah layak ke Sukan Olimpik seperti atlet memanah dan tidak dapat beraksi pada temasya kali ini.

"Ia tidak menjadi masalah kerana melalui program pembangunan yang telah dijalankan sejak dahulu kita tetap berupaya memberikan saingan," kata Rozi.
Terengganu muncul juara Sukan Malaysia berturut-turut sejak 2008 dan tahun lalu negeri itu mengutip 23 pingat emas.