Oleh FAUZI MOHD
DALAM politik PAS, semua boleh berlaku dan tidak ada yang mustahil.
Tetapi, ada yang masih ingat, bagaimana ‘garangnya’ Nik Abdul Aziz Nik Mat satu ketika dulu melarang kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi.
Hadi nampak bahawa perpecahan Melayu akan memberi ‘bala tersembunyi’ kepada bangsa dan umat.Selepas PRU 12, Hadi menyambut cadangan Abdullah supaya UMNO dan PAS duduk berbincang.
Hadi dan Timbalannya ketika itu, Nasharuddin Mat Isa sudah memulakan langkah tersebut.
Malangnya, Nik Aziz ada masalah. Dia mungkin mahu menjaga hati Anwar Ibrahim yang ketika itu sedang rancak mengatur rentak menawan Putrajaya pada 16 September.
Keyakinan Mursyidul Am PAS itu kepada Anwar cukup tinggi.
Marahnya Nik Aziz kepada Hadi, menyebabkan Nasharuddin Mat Isa menjadi mangsa.
Macam-macam perkataan dihambur keluar dari mulut seorang ulama politik terhadap Nasharuddin.
Sampai Nik Aziz dikatakan mengungkit yang dia kesal memberi tempat Nasharuddin bertanding di Kelantan dan menang pula di kerusi Parlimen Bachok.
Kemarahan Nik Aziz terbawa-bawa sehingga Nasharuddin, seorang intelektual Islam kalah dalam usahanya mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PAS di tangan Mat Sabu.
Orang PAS yang majoriti menyokong ulama benar-benar sedih tetapi rakan-rakan Nik Aziz seperti DAP dan PKR cukup bahagia.
PAS sanggup membuang Nasharuddin atas kehendak Nik Aziz.
Cuma, mereka tak upaya nak membuang Hadi.
Kini, Mat Sabu sudah mula disindir secara halus sebagai bakal Presiden PAS.
Padahal, siang malam ulama PAS berdoa agar Mat Sabu tidak akan sampai ke kerusi Presiden PAS disebabkan PAS perlukan seorang pemimpin bertaraf ulama yang cerdik dan bukan “lembu yang dicucuk hidung”.
Hari ni, apabila Nik Aziz menyebut isu muzakarah dengan Umno, Hadi cepat-cepat mengadakan sidang akhbar.
Kata Hadi, PAS tidak bercadang untuk bermuzakarah. Tersentak Nik Aziz kerana Hadi begitu garang.
Sebenarnya Hadi nak ingatkan Nik Aziz. Dulu, masa orang bercakap mengenai kerajaan perpaduan, Nik Aziz tak setuju. Sekarang, apahal melalut nak bermuzakarah?
Kali ini Hadi kenakan Nik Aziz.
Mula-mulanya Nik Aziz masih mahu menunjukkan dia lebih berkuasa dari Hadi.
Kononnya dalam PAS, Mursyidul Am lebih besar atau lebih atas atau lebih berkuasa dari Presiden.
Tetapi kemudiannya, dia akur, Presiden PAS mewakili seluruh ahli PAS sudah ‘bercanggah’ dengan dia.
Cepat-cepat dia kata, tak jadi muzakarah kerana mahu menghormati Presiden PAS.
Perbalahan ini besar sebenarnya kerana Nik Aziz jenis manusia tak mahu dengar cakap orang tetapi kali ni dia macam tersentak pula dengan serangan Hadi.
Yang pasti, Karpal Singh dan Kit Siang tersenyum simpul.
Anwar dengan Azmin tak sempat tersenyum kerana masing-masing ada masalah peribadi.