SUTERA digital ekslusif dengan reka corak terkini, titisan kasih, flamingo, fatansia, trologi, merak, bonia dan brush, boleh didapati di Masyitah Sutera, Pasar Besar Kedai Payang dengan kadar harga yang berpatutan.
Pengurusnya, Puan Masyitah Alias, 26, berkata tekstil dengan reka corak itu adalah yang paling laris dan diminati pelanggan tempatan mahu pun luar Terengganu setiap kali singgah di premis milik keluarga mentuanya.
“Sebagai peniaga, saya perlu memahami apa kehendak pembeli kerana cita rasa mereka sentiasa bertukar-tukar mengikut peredaran masa.
“Jika tidak, pasti kedai yang diusahakan bersama suami, Mahatdir Mohd,28, tidak laris dan jauh ketinggalan berbanding premis perniagaan lain,” katanya.
Perniagaan itu asalnya kepunyaan bapa mentua, Haji Mohd M Kassim sedia menerima tempahan menjahit pakaian seragam batik secara berkumpulan atau dalam kuantiti banyak.
Harga tempahan yang ditawarkan serendah RM100 hingga RM250 sehelai bergantung kepada kualiti dan jenis kain.
Menurutnya, , persaingan antara peniaga lain antara cabaran yang perlu ditempuh kerana pada masa sekarang begitu ramai individu yang meminati bidang jualan kain.
“Saya menganggap semua itu persaingan positif yang boleh mematangkan lagi Masyitah Sutera yang sudak bertapak di PBKP hampir 30 tahun ini.
“Alhamdullilah rezeki saya bertambah setiap kali tiba musim cuti sekolah dan ketika ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Menurutnya, dia manfaat sepenuhnya apabila tiba `durian runtuh’ itu dengan menawarkan harga berpatutan supaya pelanggan tidak jemu dan paling penting, mereka datang kembali.
“Rata-rata pelanggan yang datang ke kedai saya semuanya menyatakan puas hati dan memuji kerana corak dan jenis kain yang dijual moden dan terkini.
“Pembeli luar Terengganu lebih mengemari sutera, batik lukis dan songket asli kerana di tempat mereka sukar untuk memperolehnya,” katanya.
Masyitah Sutera yang dibuka jam 9.00 pagi hingga 6 petang itu turut mempunyai cawangan di tingkat 2, Bazar Warisan.