Program Menteri Besar masuk kampung boleh diibaratkan bagai sireh pulang ke gagang, apabila memori rumah bernombor 518A, di Kampung Ladang yang pernah didudukinya kira-kira 36 tahun lalu kembali bertemu tuannya.
“Saya tinggal menyewa bersama kawan-kawan ketika belajar di Sekolah Adabi di bandar ini,” katanya yang ceria sambil meninjau disekeliling rumah itu hari ini (2 Jun).
To' Puan Seri Hajjah Norliza mencium tangan ibu angkat Dato' Seri Haji Ahmad
Program anjuran Pergerakan Pemuda dan Penyelaras UMNO Dun Ladang itu juga telah memberi kesempatan Dato’ Seri Haji Ahmad Said bertemu ibu angkatnya Puan Eshah Mohamed atau Mok Mek, 80 tahun yang kini uzur.
Kehadiran Menteri Besar bersama isteri, To; Puan Seri Hajah Norliza Mahmud membawa sinar bahagia kepada penduduk di sekitar kampung berkenaan di mana 14 keluarga miskin, uzur, kurang upaya dan warga emas telah menyambut salam pemimpin nombor satu itu dengan genggaman erat.
Rata-rata mereka ini bakal berpindah ke rumah baru yang lebih selesa disediakan kerajaan kerana kawasan yang diduduki sekarang akan dibangunkan oleh kerajaan negeri dan ternyata mereka tidak keberatan demi pembangunan untuk generasi akan datang.
Mengiringi lawatan itu, Pegawai daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh.
Beberapa artis turut serta iaitu Shahezy Sam , Sari Yanti dan CEO Metrowealth International Group (MIG), Dato’ David Teo.