Halaman

29 May 2012

IKB latih anak yatim yang tercicir dalam akademik

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) mengambil 300 pelajar untuk mengikuti kursus menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud Mansor berkata. semua pelajar terpilih ditempatkan di Asrama Perkaya Pulau Kerengga, Marang selama lima hari untuk mempelajari teknik menjawab soalan SPM.

“Kita menyediakan beberapa guru pakar dalam beberapa mata pelajaran penting untuk membimbing pelajar-pelajar ini agar mampu capai keputusan cemerlang dalam peperiksaan nanti,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, Perkaya membelanjakan RM40,000 bagi menjayakan program ini dalam usaha memastikan pelajar terutama anak yatim mampu melakar sejarah kegemilangan dalam dunia pendidikan.

“Tanggung jawab kita bukan setakat penghuni di asrama sahaja tetapi anak yatim di luar sana yang tinggal bersama ibu serta saudara mara mereka,” katanya.

Tambah beliau, fokus utama Perkaya ialah pelajaran kerana melalui ilmu pengetahuan yang tinggi akan mengangkat martabat sesuatu bangsa itu di mata dunia.

Katanya, anak yatim yang kurang cemerlang dalam akademik, diberi peluang mengikuti kursus dalam bidang kemahiran di Institut Kemahiran Bestari (IKB) yang terletak di Setiu.

“Di sini mereka boleh mengambil kursus persijilan hingga ke peringkat diploma, jadi soal anak yatim terabai tidak timbul kerana peluang terbuka luas untuk mereka membuat pilihan,” katanya.