Para saintis diminta supaya tidak menjadikan ilmu yang mereka perolehi sebagai hak eksklusif, sebaliknya ia perlu disebar hingga ke peringkat akar umbi, bagi membolehkan masyarakat berkongsi pengetahuan di bidang sains.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata ilmu yang dimiliki para saintis cukup berharga dan sewajarnya disampaikan kepada masyarakat, terutama pelajar agar mereka menjadi insan berwawasan dan progresif.
Beliau berkata, ilmu sains perlu diterap dan diberi penekanan kepada kalangan rakyat, seiring dengan matlamat pendidikan sains yang sentiasa menekankan usaha ke arah melahirkan masyarakat `celik ilmu’ dan bijak membudayakan ilmu sains.
“Masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan luas, bukan saja mampu menjadi pengguna teknologi berdedikasi, tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains.
“Jika seseorang itu berilmu, tidak mungkin wujud ilmu tahayul dan gemar mempercayai perkara-perkara kurafat.,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2012, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu.
Seminar anjuran DBP dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia yang bertema `Manjana Idea Menyerlah Karya’ itu disertai lebih 100 peserta pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Topik yang dibentang dalam program itu merangkumi cabaran hak cipta, undang-undang, peranan dan masa depan penerbitan saintifik.
Dr Awang Sariyan turut memberitahu, para pengkaji digalakkan menghasilkan penulisan berkualiti supaya ilmu sains dan teknologi dapat diperluas penyebarannya.
“Penulisan dan penerbitan karya turut memainkan peranan dalam transformasi idea dalam memberikan sumbangan kepada peradapan bangsa,” katanya.