JIKA anda ingin mengetahui bagaimana orang kampung memproses ikan masin, ikan bilis, keropok keping, sotong dan udang kering, silalah berkunjung ke Pantai Penarik, Setiu, kerana mereka sedia memberi jawapan serta tunjuk ajar.
Hampir setiap pagi, terdapat beberapa penduduk kampung, terutama kaum ibu setia dengan aktiviti itu yang sememangnya menjadi sumber rezeki tambahan kepada keluarga masing-masing sejak dulu lagi.
Aktiviti seumpama itu sinonim dengan Pantai Penarik kerana kebanyakan ketua keluarga yang tinggal berhampiran lokasi itu mencari rezeki di laut.
Terletak kira-kira 71 kilometer dari Bandar Raya Kuala Terengganu dan berada di kawasan perkampungan nelayan membuatkan pelancong seakan terpikat dengan keindahan pantai yang bersih dan air laut membiru itu.
Lebih menarik lagi, struktur beberapa pulau tersohor iaitu Pulau Redang, Pulau Bidong, dan Pulau Perhentian dapat dilihat jika pengunjung berada di Pantai Penarik.
Deretan gerai menjual pelbagai jenis hasil laut seperti ikan, sotong, ketam dan udang segar sentiasa menjadi pilihan ketua keluarga dan suri rumah untuk dijadikan hidangan tengahari atau malam.
Pada hujung minggu dan cuti sekolah, orang ramai termasuk pengunjung luar Terengganu pasti mengambil peluang membawa keluarga masing-masing untuk beriadah dan berkelah.
Bagi penduduk terutama golongan muda di perkampungan itu, mereka gemar menjadi pantai itu sebagai lokasi bagi membuktikan kehandalan dengan bermain bola sepak pantai dan bola tampar.
Majlis Daerah Setiu (MDS) sentiasa berusaha memperindahkan destinasi pelancongan itu dengan menaiktaraf kemudahan sedia ada, menanam ratusan pokok rhu dan tidak lupa menambah lampu jalan semata-mata ingin memberi keselesaan dan menarik minat pengunjung ke Pantai Penarik.
Pengunjung dinasihatkan supaya tidak melakukan aktitiviti membahaya ketika berada di kawasan pantai termasuk bermain air dan mandi.