Halaman

29 May 2012

Klinik 1Malaysia di DUN Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang tidak berkemampuan tidak lagi perlu risau untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan dengan kadar caj serendah RM1 apabila Klinik 1Malaysia bakal beroperasi di Kampung Kubang Parit tidak lama lagi.

Pegawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata klinik cetusan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak itu memberi banyak manfaat kepada penduduk sekitar yang berpendapatan kecil dan tidak mampu menanggung kos yang tinggi untuk ke klinik swasta.

“Klinik itu akan dibuka dalam tempoh terdekat sebelum berakhir 2012. Kini, kerja-kerja logistik termasuk menyiapkan bahan-bahan perubatan dalam klinik berkenaan sedang dilaksanakan sebelum ia beroperasi sepenuhnya,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Haji Wan Mahyuddin berkata, klinik itu bakal dibuka di premis perniagaan di kawasan perumahan yang sedang pesat dibangunkan, di KP Perdana, Kubang Parit.

Katanya, kawasan yang strategik teutama kemudahan jaringan jalan raya dan tempat parkir menjadi kriteria utama pemilihan lokasi bagi menempatkan klinik untuk kemudahan penduduk sekitar itu.

Selain itu, menurutnya jika sebelum ini penduduk yang tidak berkemampuan dan memerlukan rawatan kesihatan segera dibantu dengan menyediakan perkhidmatan membawa doktor bertauliah turun padang menerusi program `Doktor Bersama Masyarakat’ yang dijalankan sebulan sekali dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung sejak tiga tahun lalu.

“Dalam program itu, kita turut menyediakan borang-borang bantuan kebajikan kepada penduduk yang diselaraskan menerusi agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Katanya, penduduk setempat tanpa mengira usia dan latar belakang politik akan menerima manfaat cukup besar selain mampu berjimat cermat demi menjalani kehidupan lebih baik untuk mendapatkan rawatan kesihatan berbanding kelaziman.

Untuk rekod, Klinik 1Malaysia beroperasi tujuh hari seminggu bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam dengan menyediakan rawatan ringan seperti demam, batuk, selsema dan penyakit-penyakit ringan yang lain.


Selain itu, perkhidmatannya termasuk menyediakan rawatan susulan kes pesakit kronik yang stabil dan terkawal seperti diabetes, darah tinggi dan asma, prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan membuka jahitan, membuat notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti demam denggi serta khidmat nasihat dan pendidikan kesihatan.