Halaman

01 June 2012

ADUN Hulu Besut ketuai gotong royong usung rumah penduduk Kampung La

YB Nawi (tengah) mengusung rumah seorang penduduk di Kampung La,Hulu Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad, membuktikan semangat setia kawan bersama rakyat apabila beliau sanggup berpeluh dan berganding bahu bersama penduduk ketika menyertai gotong royong mengusung sebuah rumah di Kampung La, Hulu Besut, selepas solat Jumaat semalam.

Nawi bersama lebih 100 penduduk Kampung La, berjaya memindahkan sebuah rumah dari tapak asal ke tapak baru sejauh 50 meter dalam kerja sosial bersama masyarakat.

Rumah milik Ayob Yasin,40, dipindahkan bagi membolehkan tapak rumahnya dijadikan tapak kedai dan terpaksa meminta bantuan penduduk kampong untuk melakukan kerja pemindahan rumah berkenaan.

Kelihatan mudah tetapi kerja untuk memindahkan rumah itu terpaksa berhadapan beberapa halangan kerana laluan sempit dan keadaan rumah yang berat.

Nawi yang turut serta dalam kerja mengusung rumah berkenaan turut kagum dengan semangat kerjasama dan kesungguhan penduduk membantu jiran memindahkan rumah itu.

“Bukan sedang hendak mencari kerja gotong royong yang memerlukan keringat dan tenaga berat seumpama ini tetapi penduduk kampung berkenaan sudah membuktikannya,” katanya.

Malah kata Nawi, beliau gembira kerana penyertaan gotong rpyong itu turut dihadiri ramai penyokong Pas serta golongan muda.

Beliau berkata, amalan mengusung rumah jarang dilakukan sekarang tetapi ia menjadi perkara biasa pada satu ketika dahulu dan kegiatan itu satu contoh baik kepada generasi sekarang.