Halaman

07 June 2012

Terengganu sumbang RM100,000 untuk Adam

Oleh: Suriati Ali

Keprihatinan Kerajaan Terengganu menyumbangkan RM100,000 kepada Adam Akhbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang membuka mata banyak pihak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membolehkan Adam mendapatkan rawatan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat dengan kadar yang segera.

Menurutnya, sumbangan RM100,000 itu adalah peruntukan Tabung Penyakit Kronik yang menyalurkan bantuan kepada individu yang layak bagi kes-kes penyakit kronik.

“Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad akan menghantar cek seberapa segera dalam tempoh terdekat, mungkin dalam masa tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Saya harapkan sumbangan ini akan membolehkannya mendapatkan rawatan. Mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria semula,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, Kuala Terenggani, semalam.

Dalam akhbar Sinar Harian sebelum ini melaporkan Tabung Adik Adam ditubuhkan membolehkannya mengumpul wang bagi menampung kos rawatan yang diperlukan.

Adam yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang, kini bergantung dengan ubat tahan sakit kerana mengalami sakit kepala berpanjangan, kesan
daripada penyakit yang dialaminya itu.


Tujuh kg alami gangguan bekalan air

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (Satu) sedang berusaha memulihkan gangguan bekalan air yang berlaku di tujuh kampung sekitar Kuala Terengganu akibat kerosakan luar jangka peralatan pam di Muka Sauk Pulau Musang jam 5 pagi, semalam.

Kampung (Kg) yang terlibat adalah Kg Losong, Kg Durian Burung, Kg Chabang Tiga, Kg Paloh, Kg Sungai Rengas, Pulau Musang dan Pulau Rusa.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata kerosakan di luar jangka itu mengakibatkan air sungai Terengganu tidak dapat dipam seperti biasa untuk saluran kepada Loji Air Losong, Kuala Terengganu.

Katanya, pihak kami bersedia membantu penduduk kampung dengan menghantar air secara manual dan lori bergerak sepanjang berlakunya gangguan yang dijangka pulih seperti biasa pada 11 Jun ini.

“Kita sedang berusaha memulihkan bekalan air itu dengan kadar yang segera. Oleh itu pengguna-pengguna yang terlibat diharap bersabar dan menggunakan air secara berhemah,” katanya.

Satu telah membuka bilik gerakan di Loji Air Kepong selama 24 jam, bermula semalam. Sebarang pertanyaan dan aduan berkaitan ini boleh menghubungi talian, 1 300 882 111, 09-6201179, 09-6201001, 09-620 1111.


06 June 2012

Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia

Oleh FAUZI MOHD

Konsep wasatiyyah atau kesederhanaan adalah pendekatan yang amat sesuai diamalkan oleh negara berbilang kaum seperti Malaysia bagi mengelak rakyat mengamalkan budaya hidup yang melampau demi perpaduan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, konsep itu dapat membantu dalam usaha mengekang budaya atau kegiatan fanatik dan ekstremis dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Justeru itu kata beliau, Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia akan diadakan pada 10 Jun ini bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman.

Jelasnya, program yang bermula pukul 8 pagi itu membabitkan dua tokoh penceramah iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan.

“Kita sasarkan kira-kira 2,000 penyertaan daripada pelbagai peringkat termasuklah pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan, belia dan guru,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambah Ahmad Razif, program itu sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

“Seminar ini bakal menyentuh konsep Gagasan 1Malaysia dan boleh dihadiri sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui tajuk ini secara ilmiah,” ujarnya.

Katanya, perasmian penutup program itu bakal disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan disiarkan secara langsung di webtv.terengganu.gov.m



Gangguan bekalan air

Pada 6 Jun 2012 jam 5.00 pagi telah berlaku kerosakan luar jangka kepada peralatan pam di Muka Sauk Pulau Musang yang menyebabkan Loji Air Losong, Kuala Terengganu tidak dapat beroperasi. Ini akan menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan tertentu.

Kawasan-kawasan yang terlibat adalah:-

a. Kg. Losong                            
b. Kg. Durian Burung
c. Kg. Chabang Tiga
d. Kg. Paloh
e. Kg. Sungai Rengas
f. Kg. Pulau Musang
g. Kg. Pulau Rusa

Gangguan ini dijangka bermula pada 6 Jun 2012 dan dijangka bekalan akan pulih pada 11 Jun 2012. Pada masa ini kakitangan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sedang berusaha membaiki kerosakan yang berlaku. Bekalan air sementara secara manual melalui lori tangki akan disediakan. SATU telah membuka bilik gerakan di Loji Air Kepong bermula pada hari ini dan bilik gerakan ini akan beroperasi 24 jam. Sebarang pertanyaan dan aduan berkaitan dengan ini boleh menghubungi melalui talian:-

a. Careline : 1 300 882 111
b. 09-6201179
c. 09-6201001
d. 09-6201111

Pihak SATU sedang dan akan berusaha untuk memulihkan bekalan air seberapa segera yang boleh dilakukan. Pengguna-pengguna adalah diminta untuk bersabar dan menggunakan air secara berhemah. Sebarang kesulitan amatlah dikesali.








PSKT anjur Program Mencerap Anak Bulan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar Zulkipli Putra




Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) bakal mengadakan Program Mencerap Anak Bulan dan Bengkel Teleskop di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, pada 20 Jun ini.

Program bermula jam 4 petang hingga 8.30 malam merupakan siri kedua bertujuan memberi pendedahan mengenai ilmuan falak kepada masyarakat setempat.

Pengarah Urusan PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata acara bermula dengan pendaftaran pelajar pada jam 8.30 pagi, diikuti ceramah yang bertajuk isu semasa berkaitan fenomena falak, bengkel penyelenggaraan dan aplikasi teleskop di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri (SMKIF).



Katanya, pada jam 4 petang peserta kemudiannya dibawa dari SMKIF ke TTI untuk mengikuti majlis perasmian Program Pencerapan Anak bulan dan Pelancaran Kelab Astronomi Terengganu yang dijadualkan berlangsung di Dewan Konvensyen TTI pada jam 5 petang.

“Sejurus kemudian, bermulalah acara bagi pencerapan anak bulan dan planet-planet di Dataran TTI.

“Program pencerapan bermula jam 6.30 petang berhenti rehat sejam untuk makan malam dan solat maghrib dan bersambung pada jam 8 malam serta berakhir setengah jam kemudian,” katanya.





Siti Nazira layak terima RM10,000

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menunjukkan logo Tahun Melawat Terengganu 2013 hasil ciptaan seorang pelajar UiTM.


Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri bersetuju memilih pelajar Art & Design Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Nazira Abdul Rahman, 23 sebagai pemenang Pertandingan mencipta logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Kemenangan itu melayakkan Siti Nazira dari Kampung Pauh, Kuala Berang menerima wang tunai berjumlah RM10,000 dan empat lagi peserta turut memperoleh wang saguhati masing-masing berjumlah RM1,000.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pertandingan yang terbuka kepada pelajar UiTM itu bertemakan `Aspirasi Darul Iman — Satu Idea Seribu Harapan'.

Katanya, pihaknya menerima sebanyak 130 penyertaan dan mereka yang berjaya dipilih sebagai pemenang selepas mendapat persetujuan juri profesional dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Logo ciptaan Siti Nazira sememangnya menampilkan pelbagai keunikan Terengganu di mana mempunyai gambaran berkaitan penyu, kejohanan perayu layar, songket, tembaga dan pulau.

“Kita akan gunakan logo itu bagi mempergiatkan lagi mempromosi TMT 2013 yang kini sedang rancak dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demkian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.



NGO kebudayaan diberi nafas baru, tampil lebih kreatif

Oleh FAUZI MOHD

Kewujudan lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) yang berpayung di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu diberi nafas baru dengan penglibatan lebih meluas dalam kalendar kebudayaan negeri dan daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berkata, pendekatan itu bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada NGO terbabit melibatkan diri dalam program kebudayaan di Terengganu.

Menurutnya, kumpulan NGO itu wajar ditonjolkan sepenuhnya kerana mereka lebih faham dan mempunyai daya kreatif yang tinggi.

“Selain mengurangkan kebergantungan kepada pihak kerajaan, progam seni dan budaya mampu disemarakkan dengan idea dan pendekatan baru daripada kumpulan NGO terbabit, iaitu idea dari akar umbi.

“Kumpulan itu bukan sekadar tampil di pentas dengan persembahan dan pertunjukkan, malah mereka turut diberi peranan lebih luas dalam menjayakan sesuatu program di peringkat negeri mahupun daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Pekan Budaya Daerah Kuala Terengganu di Dataran Shah Bandar, malam tadi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Tambah Dato’ Abdul Rahin, gabungan NGO berkenaan akan mengambil alih beberapa peranan kerajaan negeri sebelum ini dalam pelbagai penganjuran aktiviti kebudayaan seperti festival pekan budaya di daerah-daerah.

“Setiap daerah ada tema budaya masing-masing. Perubahan ini mampu menjadikan acara kebudayaan di Terengganu satu produk pelancongan santai dan unik,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu.



Taklimat melicinkan proses PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menekankan program taklimat kepada petugas pilihan raya khususnya pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus, pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik bagi melicinkan perjalanan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Kesemua program taklimat yang dilaksanakan serentak di seluruh negara dijangka dapat diselesaikan pada 31 Jun ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata taklimat kepada petugas di pusat mengundi pula melibatkan perkara seperti penggunaan dakwat kekal, urusan pengundian awal, anggota media bertugas luar kawasan boleh memohon mengundi pos dan aspek pengurusan hari penamaan calon apabila proses bantahan sudah dimansuhkan daripada undang-undang.

“Dalam persiapan pilihan raya, di sebalik bajet, logistik dan peralatan..taklimat ini juga paling mustahak. Sekiranya petugas kita tidak memahami, tidak jelas dan buku panduan tidak mencukupi..akan timbul masalah.

“Sebab itu peringkat pegawai kita ulangkan (taklimat), peringkat ketua tempat mengundi, kerani pengundian kita ulangkan..Jadi lagi lama pilihan raya dilewatkan bagi SPR lagi baik kita buat persiapan, kita ulangkan kita pastikan apa yang belum puas hati kita buat sekali lagi, kita tiada masalah. Sebab SPR bukan baru merancang, kita merancang (persiapan) sudah lama..Kita akan tengoklah (masa sebenar pilihan raya),” katanya di sidang media sempena taklimat PRU13, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam (5 Jun).

Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.

Datuk Wira Wan Ahmad berkata, sekiranya tarikh sebenar PRU13 tidak berlaku dalam masa terdekat atau pada tahun ini, SPR dijangka mengulangi perjumpaan dengan petugas PRU13, bagaimanapun perjumpaan itu tidak akan dilaksanakan pada Ramadan dan Syawal, sebaliknya hanya menumpukan kepada persiapan dalaman antara Ibu Pejabat SPR dengan negeri.

Beliau yang menjangkakan aktiviti PRU13 lebih rancak dan `panas’ dapat dikendalikan dengan lancar dan sempurna oleh kesemua petugas mereka, selain mereka dapat memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing supaya pilihan raya berjalan lancar.

Untuk rekod, seramai 611,583 pengundi berdaftar di seluruh Terengganu dengan pertambahan pengundi baru selepas PRU12 sehingga kini kira-kira 100,000 pengundi di mana 35 peratus daripadanya merupakan pengundi muda.

Sementara, seramai 12,912,590 juta pengundi berdaftar di seluruh negara.

Terengganu yang mempunyai lapan bahagian pilihan raya bagi Parlimen dan 32 bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) membuka 355 pusat mengundi yang melibatkan 1,212 saluran pusat mengundi.

Daripada 16.5 juta warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, seramai 3.65 juta daripada mereka belum mendaftar sebagai pengundi.






05 June 2012

Satu undi untuk Pas sama dengan satu undi untuk DAP

Oleh; Esah Abdullah

Pengundi Melayu dan Islam diingat satu undi untuk Pas sama seperti satu undi untuk DAP, ia berdasarkan sikap Pas sekarang yang bersungguh-sungguh pertahankan parti berada dalam cengkaman Karpal Singh.

Pengerusi Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh berkata, tidak mustahil jika Pakatan Rakyat (PR) menang dalam PRU-13, DAP yang mendapat untung besar manakala Pas hanya mengigit jari.

“Saya harap pengundi tidak tertipu dengan janji Pas yang ingin membentuk negara kebajikan kerana kerajaan Barisan Nasional telah lama menjaga kebajikan rakyat dengan menyediakan pelbagai bantuan bagi meningkat taraf kehidupan rakyat.

Mengenai kenyataan pemimpi Pas yang yakin dapat mengulangi sejarah 1999, beliau menyifatkan impian itu sebagai kenyataan yang tidak berpijak di bumi nyata.

“Pas yakin menang kerana berharap rakyat benci kerajaan BN melalui fitnah dan cerita buruk yang dijaja selama ini,” katanya.

Katanya, rakyat di negeri ini masih ingat apa yang berlaku sepanjang pemerintahan Pas selama empat tahun (1999-2004) iaitu sejarah kegelapan bagi rakyat di negeri ini di mana anak-anak tabika Kemas di halau dari premis kerajaan, kelas jahitan dirantai dan pelbagai lagi.

Dato’ Haji Wan Hisham juga menyifatkan manifesto Pas amat tidak realistik dan hanya sebagai gula-gula menjelang PRU sahaja.

Katanya, BN lebih banyak berjasa serta menjaga kepentingan rakyat terutama dalam pembangunan pendidikan dengan membelanjakan RM340 juta setahun bagi meningkatkan pencapaian pelajar.

“Tidak ada negara dalam dunia ini yang beri percuma komputer riba dan e-Book kepada semua pelajar di sekolah rendah dan menengah untuk kemudahan mereka belajar ,” katanya.




Semak status tempat mengundi, elak alamat `berpindah'

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua pengundi yang sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menyemak status tempat mengundi masing-masing dengan SPR bagi mengelak sebarang kekalutan yang boleh menjejaskan kelicinan proses pilihan raya nanti.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata semakan pendaftaran itu dibuka sepanjang tempoh sebulan bermula 1 hingga 30 Jun dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada 15888, selain menyemak menerusi laman web SPR ataupun datang terus ke pejabat SPR berhampiran.

“Kita hendak sangat rakyat seluruh negara yang berdaftar sebagai pengundi dengan SPR supaya membuat semakan daftar pemilih.

“Generasi muda serta generasi lama sekarang pasti memiliki telefon bimbit dan buatlah semakan daftar pemilih dalam tempoh sebulan ini kerana apabila membuat semakan barulah mereka tahu di mana mereka mendaftar dan di mana mereka mengundi,” katanya di sidang media sempena taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus serta pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam (5 Jun).

Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.

Datuk Wira Wan Ahmad berkata, banyak aduan di kalangan pengundi kebelakangan ini bahawa mereka tidak menyedari alamat mengundi mereka `berpindah’ ke lokasi lain.

Bagaimanapun, beliau percaya kejadian `berpindah’ alamat itu sebenarnya disedari oleh pengundi itu sendiri kerana individu berkenaan yang perlu mengisi borang untuk perpindahan tempat mengundi atau pertukaran alamat dan tidak boleh dilakukan oleh pihak lain.

“Ramai pengundi menyatakan mereka tidak sedar `dipindahkan’, SPR hairan juga kerana kita terima borang permohonan pertukaran alamat dan proses sebagai bertukar alamat. Kita tidak proses sewenang-wenang tanpa menerima borang pertukaran alamat.

“Tetapi ada yang menyatakan tempat mengundi bertukar tanpa pengetahuannya. Jadi, kalau betul begitu mereka kena semak hari ini juga. Kalau betul dia tidak tahu yang dia dipindahkan tanpa pengetahuan oleh sesiapa yang tidak bertanggungjawab dia perlu segera ke pejabat pos bagi menukar semula alamat berdasarkan alamat kad pengenalan,” katanya.

Menurutnya, SPR tidak mahu sekiranya kejadian `berpindah’ alamat tanpa disedari pengundi boleh menimbulkan kekecohan apabila tiba hari pengundian sebenar selepas mendapati nama mereka tiada di tempat mengundi nanti.

Untuk rekod, seramai 611,583 pengundi berdaftar di seluruh Terengganu dengan pertambahan pengundi baru selepas PRU12 sehingga kini kira-kira 100,000 orang di mana 35 peratus daripadanya merupakan pengundi muda.

Sementara itu, seramai 12,912,590 juta pengundi berdaftar di seluruh negara.