Halaman

07 June 2012

Tujuh kg alami gangguan bekalan air

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (Satu) sedang berusaha memulihkan gangguan bekalan air yang berlaku di tujuh kampung sekitar Kuala Terengganu akibat kerosakan luar jangka peralatan pam di Muka Sauk Pulau Musang jam 5 pagi, semalam.

Kampung (Kg) yang terlibat adalah Kg Losong, Kg Durian Burung, Kg Chabang Tiga, Kg Paloh, Kg Sungai Rengas, Pulau Musang dan Pulau Rusa.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata kerosakan di luar jangka itu mengakibatkan air sungai Terengganu tidak dapat dipam seperti biasa untuk saluran kepada Loji Air Losong, Kuala Terengganu.

Katanya, pihak kami bersedia membantu penduduk kampung dengan menghantar air secara manual dan lori bergerak sepanjang berlakunya gangguan yang dijangka pulih seperti biasa pada 11 Jun ini.

“Kita sedang berusaha memulihkan bekalan air itu dengan kadar yang segera. Oleh itu pengguna-pengguna yang terlibat diharap bersabar dan menggunakan air secara berhemah,” katanya.

Satu telah membuka bilik gerakan di Loji Air Kepong selama 24 jam, bermula semalam. Sebarang pertanyaan dan aduan berkaitan ini boleh menghubungi talian, 1 300 882 111, 09-6201179, 09-6201001, 09-620 1111.