Halaman

03 June 2012

Terengganu komited lahir jaguh permotoran

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri bersedia untuk menaja mana-mana pelumba yang berbakat besar dalam sukan permotoran di negeri ini untuk terlibat dengan lebih serius.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, meletakkan kepada mana-mana individu yang ingin turut serta agar berdisiplin serta tidak terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.



“Kita sedia untuk memberi tajaan kepada mana-mana individu atau persatuan melalui Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri yang berminat dalam usaha untuk melahirkan jaguh yang disegani, tetapi pelumba yang bakal dilahirkan nanti perlulah berkualiti.

“Ini kerana, kita tidak ingin sekadar melahirkan jaguh kampung semata-mata, sebaliknya pelumba yang mampu memberi saingan di peringkat luar negara dengan harapan berupaya mengharumkan nama negara pada suatu masa nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam sidang media Program Evolusi R di Dataran Shahbandar, baru-baru ini.



Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai program yang bertujuan untuk menarik golongan muda bermotosikal yang sering dikaitkan dengan aktiviti lumba haram, beliau melihat ia sebagai langkah positif.

“Saya juga difahamkan bahawa akan terdapat perlumbaan motosikal di mana para pengunjung berpeluang untuk menunjukkan bakat mereka melalui pelbagai aktiviti yang akan diadakan nanti,”katanya.

Katanya lagi, ia juga dilihat sebagai penghormatan kepada negeri ini apabila dipilih sebagai destinasi pertama dalam siri Karnival Evolusi R anjuran Karnival Evolusi R dan Rempit United.