Halaman

06 June 2012

PSKT anjur Program Mencerap Anak Bulan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar Zulkipli Putra




Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) bakal mengadakan Program Mencerap Anak Bulan dan Bengkel Teleskop di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, pada 20 Jun ini.

Program bermula jam 4 petang hingga 8.30 malam merupakan siri kedua bertujuan memberi pendedahan mengenai ilmuan falak kepada masyarakat setempat.

Pengarah Urusan PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata acara bermula dengan pendaftaran pelajar pada jam 8.30 pagi, diikuti ceramah yang bertajuk isu semasa berkaitan fenomena falak, bengkel penyelenggaraan dan aplikasi teleskop di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri (SMKIF).



Katanya, pada jam 4 petang peserta kemudiannya dibawa dari SMKIF ke TTI untuk mengikuti majlis perasmian Program Pencerapan Anak bulan dan Pelancaran Kelab Astronomi Terengganu yang dijadualkan berlangsung di Dewan Konvensyen TTI pada jam 5 petang.

“Sejurus kemudian, bermulalah acara bagi pencerapan anak bulan dan planet-planet di Dataran TTI.

“Program pencerapan bermula jam 6.30 petang berhenti rehat sejam untuk makan malam dan solat maghrib dan bersambung pada jam 8 malam serta berakhir setengah jam kemudian,” katanya.