Persatuan Badminton Negeri Terengganu (PBNT) yakin latihan selama sebulan di Indonesia akan membuahkan hasil untuk pasukan itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang,bulan depan.
Pengurus Pasukan PBNT Noordin Hashan, berkata pihaknya ada menghantar enam pemain terbaiknya berlatih bersama beberapa kelab badminton ternama di Jakarta, Bandung dan Jawa Tengah sejak 6 Mei lalu sehingga semalam.
Mereka yang mengikuti latihan itu adalah tiga pemain lelaki dan tiga pemain wanita iaitu Mohd Shah Mohd Desa, Mohd Syasir Mohamad, Mohd Arif Akib Hashim, Nor Ardina Abdullah, Siti Fatihah Abdullah dan Siti Farah Farhana Mat Junoh.
“Prestasi semua pemain itu dolihat semakin meningkat dan sebagai usaha memantapkan lagi persediaan, PBNT menggunakan khidmat seorang pemain badminton Indonesia sebagai rakan sepelatih.
“Pihak kami turut membariskan enam pemain muda sebagai pasukan pelapis pada Sukma 2012,” katanya.