Halaman

07 June 2012

Menteri Besar cabar peneroka keluar dari Felda



Oleh: Mohammad Ishak 

Peneroka di rancangan tanah Felda negeri ini dicabar menarik diri daripada menjadi peserta jika merasakan diri mereka tidak sesuai dan sentiasa memburuk-burukan pemimpin dan kerajaan.

Menteri Besar Terengganu,Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tidak ada gunanya peneroka yang terus tinggal di Felda tetapi mereka menjadi penghalang kepada usaha kerajaan untuk memajukan agensi itu.

Katanya, kerajaan tahu ramai peneroka yang menyokong parti pembangkang tetapi terus berdegil tinggal di Felda. “Jika rasa tidak sesuai dan tidak selesa hidup sebagai peneroka sila buat pilihan untuk menarik diri daripada terus tinggal di Felda,” katanya.

Ahmad berkata, masih ramai lagi orang lain yang ingin menjadi peneroka dan kerajaan sedia memberi peluang kepada peserta baru yang berminat untuk tinggal di Felda.

Beliau kesal ada segelintir peneroka yang sudah lupa dengan jasa Felda sehingga kini boleh hidup senang hasil usaha kerajaan membangunkan rancangan tanah terbesar itu.

Malah,katanya, beliau tahu ada peneroka yang sebelum ini marah kepada pengurusan Felda tetapi golongan ini juga tanpil lebih awal menerima “Durian Runtuh” daripada agensi itu.

Menteri Besar berkata, sumbangan Felda terhadap orang Melayu amat besar dan peneroka yang berpeluang menyertai peserta di rancangan tanah berkenaan sepatutnya bersyukur kerana nasib mereka kini sudah banyak berubah hasil usaha kerajaan membangunkan agensi tanah terbesar itu.