Kata orang melalui riak wajah ia mampu menceritakan apa yang tersirat di hati dan itulah yang boleh digambarkan bahasa badan Rahimah Abdul Rahim, 41, bila menerima kunjungan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud ke rumahnya di Kampung Tanjung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.
Rahimah dikategorikan orang kurang upaya (OKU) yang mengidap penyakit saraf sejak kecil dan hanya sempat belajar setakat darjah satu di Sekolah Kebangsaan Ladang serta kerap berulang alik ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Pendengaran dan penglihatanya agak baik tapi tidak mampu bercakap dengan lancar,” kata ibunya Puan Saadiah Embong, 71 yang mempunyai lima anak dan Rahimah adalah yang bongsu.
“Saya bersyukur kerana Rahimah dapat bantuan bulanan sebanyak RM200 sebualn dan dapatlah meringankan beban Pak Cik yang tidak boleh bekerja kuat kerana uzur,” kata Encik Abdul Rahim Mohamed, 73.
Beliau juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri Besar dan isteri yang sudi menjejakkan kaki ke rumahnya serta menawarkan rumah yang lebih selesa bila projek yang sedang dibina siap nanti.
“Saya macam tidak percaya bila melihatnya berada didalam rumah saya dan ternyata beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat,” katanya.
Menurut Encik Abdul Rahim anaknya faham bila diberitahu ada orang besar (Menteri Besar) nak datang dan jelas kelihatan dia mengenggam erat sumbangan wang dan hamper yang disampaikan To’ Puan Seri Hajah Norliza.
Menteri Besar dan isteri mengunjungi rumah warga emas, keluarga miskin dan orang uzur dalam program masuk kampung sempena program Evolusi R anjuran Pergerakan Pemuda Perhubungan negeri dengan kerjasama Penyelaras UMNO DUN Ladang.