Halaman

09 June 2012

Beri peluang untuk BN PRU13: PPD

Oleh: Aida Abd Rahman



Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam diminta memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan rakyat boleh membuat perhitungan semula pada PRU seterusnya jika sepanjang tempoh berkenaan BN gagal menjalankan tanggungjawab termasuk melaksanakan pembangunan yang sepatutnya.

Pegawai Pembangunan DUN (PPD) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata kuasa di tangan rakyat menentukan kemenangan BN di DUN itu pada PRU13 nanti.

Sehubungan itu, beliau berjanji sekiranya BN memenangi PRU13, segala keperluan pembangunan yang sepatutnya akan dilaksanakan selain meneruskan bantuan dan kebajikan lain.

“Apa lagi yang penduduk DUN ini mahukan kerana segalanya serba lengkap dan tersedia buat mereka. Jadi kita yakin dan berharap 24,310 pengundi berdaftar dalam DUN ini (sehingga 2011 lalu) tidak lagi tersilap langkah pada PRU13 nanti.

“Kita memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 6,767 isi rumah menerusi tujuh fasa pengagihan termasuk dua daripadanya proses rayuan yang diserahkan sejak awal tahun lalu. Jika penerima BR1M bersama isteri atau suami masing-masing, tahu erti bersyukur, bermakna lebih 13,000 pengundi sudah memihak kepada BN. Majoriti itu akan memberi kemenangan kepada BN,” katanya.

Selain BR1M, seramai 1,188 penduduk menerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dana Hari Raya (6,600 penerima), Dana Remaja (2,400 penerima) serta lebih 200 penerima bantuan cermin mata.

Katanya, usaha memastikan seluruh penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang memiliki pelbagai latar kehidupan bebas dari kemiskinan dan tidak tercicir dalam arus pembangunan dilaksanakan tanpa memilih bulu.

Haji Wan Mahyuddin menegaskan, walaupun majoriti daripada pengundi di DUN itu sudah membuat kesilapan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 33 tahun lalu dengan memilih Pas yang terang-terang gagal membela nasib mereka, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan penduduk yang sudah tersilap percaturan itu.

Katanya, sebagai pemimpin yang dipilih sebagai wakil dan medium kepada kerajaan negeri, beliau yang dibantu 31 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta 34Ketua Cawangan dalam DUN itu nekad dan ikhlas membantu tanpa mengira status penduduk serta mereka di kalangan penyokong pembangkang.

“Saya tetap juga meneruskan rutin memasuki kawasan yang dikatakan `hitam’ (kawasan kubu kuat Pas) demi memastikan bantuan tiba dan mereka yang memerlukan benar-benar menikmati bantuan itu tanpa ianya dipolitikkan.

“Kadangkala saya tidak terlepas daripada menerima cemuhan walaupun niat saya ikhlas membantu. Mungkin mereka (puak Pas) berhati batu dan `keras keng’ sehingga kita datang membantu pun mereka ini menganggap kita seperti `membawa bom’ ke kawasan mereka pula,” katanya.

Katanya, puak yang dikatakan tegar itu sebahagian besar kini secara beransur-ansur sudah mula membuka mata, hanya berdiam diri dan mungkin api kebencian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tertanam dalam jiwa mereka kian terhakis melihat nikmat dan bantuan yang disediakan kerajaan BN dari dulu sehingga kini.